KUALA LUMPUR 29 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) akan merekodkan pertumbuhan pendapatan suku tahunan berturut-turut tanpa gangguan dalam tempoh 6 hingga 9 bulan akan datang.
Pertumbuhan itu dipacu kenaikan harga jualan purata (ASP) produk Silterra, penghantaran wafer yang meningkat dan juga lonjakan harga minyak mentah.
Keyakinan ini bersandarkan kepada hasil pertemuan dengan pengurusan DNeX ketika lawatan tapak ke faundri wafer Silterra awal bulan ini.
Berdasarkan semakan dengan pengurusan, firma itu mendapati, ASP wafer akan terus meningkat dan kumpulan mengekalkan unjuran ASP bersih per wafer dijangka mencapai kemuncak pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (4QFY22) dengan berlegar pada paras AS$600 hingga AS$625 bagi FY22-FY23.
"Pada masa sama, DNeX juga akan menjadi penerima manfaat utama berikutan harga minyak yang lebih tinggi di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine.
"Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada unitnya, Ping Petroleum menerusi aset pengeluaran minyak di Anasuria.
"Kumpulan turut menyasarkan Avalon Oilfield (milik 100% Ping) akan mengeluarkan hasil minyak pertama pada Julai 2024 (FY25)," katanya dalam nota kajian bertarikh 25 Mac 2022.
HLIB turut mendapati, DNeX merancang untuk melaksanakan pengembangan perbelanjaan modal (capex) daripada AS$150 juta kepada AS$200 juta menjelang akhir 2022.
Langkah itu bagi meningkatkan pengeluaran teknologi baharu (MEMS dan silikon fotonik) kepada kira-kira 10% daripada jumlah kapasiti.
"Perbelanjaan ini juga akan melibatkan bangunan baharu, lanjutan daripada loji sedia ada Silterra di Kulim. Kumpulan turut menyasarkan kilang baharu ini beroperasi pada awal 2024," katanya.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran hasil bagi FY22 dan FY23 masing-masing pada RM173 juta dan RM211.7 juta.
Ini memandangkan ia mengekalkan anggaran konservatif bagi ASP bersih per wafer pada AS$500 bagi FY22 manakala AS$550 (FY23) dan AS$578 (FY24).
"Kami juga mengekalkan anggaran minyak mentah Brent bagi FY22 pada paras AS$80 setong," tambahnya.
Secara keseluruhan, HLIB mengulangi saranan 'beli' terhadap DNeX dengan harga sasaran pada RM1.64.
Setakat 10.59 pagi, harga saham DNeX susut 1 sen atau 0.98% kepada RM1.01 dengan 17.92 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








