KUALA LUMPUR 29 Mac - Prospek Mynews Holdings Bhd. dijangka kekal lemah di sebalik langkah pengembangan rangkaian CU memandangkan kos operasi yang tinggi, menurut CGS-CIMB Research.
Malah, firma itu berkata, operasi CU juga dilihat mengambil masa yang lama untuk mencapai tempoh matang sekurang-kurangnya sehingga tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (FY23).
Ketika ini, katanya, terdapat 80 cawangan CU telah dibuka dan kumpulan menjangkakan akan mencapai kira-kira 150 hingga 160 cawangan menjelang akhir FY22.
"Kami menjangkakan CU akan terus mencatat kerugian bagi FY22 memandangkan ia bergelut dengan kos permulaan yang tinggi, berikutan persekitaran operasi semasa yang kurang kondusif berbanding pemain industri lain.
"Malah, kumpulan turut menjangkakan kos pemasaran bagi mempromosi jenama CU akan kekal tinggi, manakala kos pekerja juga meningkat disebabkan pelaksanaan gaji minimum dan susut nilai yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan minggu lalu, kerugian bersih bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022 mengecil kepada RM7.86 juta berbanding RM8.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, sebaliknya pendapatan meningkat 41.34% kepada RM139.44 juta daripada RM98.65 juta.
Menerusi taklimat prestasi kewangannya, MyNews memaklumkan, ia telah menutup 24 cawangan di Semenanjung Malaysia dan 1 cawangan WHSmith di Kota Kinabalu, Sabah pada suku pertama.
Kumpulan turut menjangkakan lebih 20 kedai MyNews akan ditutup pada suku berikutnya disebabkan perubahan pengurusan pasar raya besar.
CGS-CIMB menganggarkan kira-kira 90 kedai MyNews ditutup sejak pandemik bermula pada suku kedua 2020.
"Meskipun ia diimbangi dengan pembukaan 80 cawangan CU, tetapi potensi pemulihan pendapatan dalam tempoh jangka sederhana tidak berupaya mengimbangi kerugian menerusi segmen CU dan pusat pemprosesan makanan (FPC) pada FY22.
"Pada masa sama, kami juga menjangkakan segmen FPC akan terus mengalami kerugian pada FY22 memandangkan kadar pembaziran kekal melebihi 10% disebabkan jangka hayat produk makanan segar yang lebih pendek," jelasnya.
Malah, firma itu juga mendapati, tempoh bayaran balik untuk CU adalah lebih lama pada sekitar 4 tahun disebabkan oleh perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi ditanggung untuk peralatan pengendalian makanan yang lebih canggih.
"Ini menyaksikan kumpulan sedang mempertimbangkan kemungkinan kenaikan harga produk berikutan kenaikan harga bahan mentah, yang dilihat boleh menjejaskan pemulihan permintaan jualan," tambahnya.
Mengambil kira semua faktor ini, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' terhadap MyNews dengan harga sasaran 50 sen.
Setakat 9.23 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 72 sen dengan 22,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








