KUALA LUMPUR 9 Mei - OCK Group Bhd. telah memperoleh pinjaman berjumlah AS$48.4 juta daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd. (OCBC Malaysia), yang mana sebahagian besarnya akan digunakan untuk membayar baki daripada pinjaman sebelum ini.
Dengan penyelesaian berjumlah AS$30.4 juta itu, ia secara tidak langsung akan memanfaatkan OCK melalui pengoptimuman struktur pembiayaan.
Sementara itu, baki AS$18 juta pula akan dikhususkan untuk menyelesaikan pembinaan 150 menara telekomunikasi di Myanmar.
OCBC Malaysia turut bertindak sebagai penyelaras tunggal dan pengatur utama bersama bersama United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia).
Menerusi langkah itu, pinjaman berkenaan akan disatukan daripada OCK Yangon Private Limited di Myanmar, kembali kepada OCK di Malaysia. Perjanjian itu ditandatangani pada 28 Mac 2022.
Pengarah Urusan OCK, Sam Ooi Chin Khoon berkata, langkah kumpulan melaksanakan pembiayaan semula adalah sejajar dengan inisiatif berterusan kumpulan untuk menyemak dan menambah baik pengurusan kewangan bagi membantu kumpulan mengoptimumkan struktur modal dan metrik kewangan.
Katanya, sokongan yang diterima daripada OCBC Malaysia dan UOB Malaysia membuktikan keyakinan dan pandangan mereka terhadap aset menara OCK.
"Malah, perniagaan kami di Myanmar setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar dalam operasi, justeru, kami kekal yakin dengan prospek perniagaan di Myanmar.
"Ini memandangkan kami menjangkakan untuk menyaksikan aliran masuk pendapatan berulang dalam tempoh jangka panjang dengan peningkatan berterusan daripada perkongsian peluang secara bersama dalam menara telekomunikasi kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga percaya, peluang pertumbuhan dalam ruang telekomunikasi juga kekal kukuh pada masa akan datang.
Kumpulan berhasrat untuk muncul sebagai syarikat menara telekomunikasi persendirian terbesar di ASEAN dan setakat ini memiliki lebih daripada 4,800 menara. - DagangNews.com








