NUBE sedia berunding dengan kerajaan, HSBC selesai isu pekerja | DagangNews Skip to main content

NUBE sedia berunding dengan kerajaan, HSBC selesai isu pekerja

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 April - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersedia berbincang dan berunding dengan Kerajaan Malaysia dan HSBC Bank Malaysia demi kepentingan terbaik pekerja-pekerja bank terbabit.

 

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, ini kerana aduan NUBE berhubung isu-isu berbangkit terhadap HSBC telah mendapat perhatian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mahu Kerajaan Malaysia memudahkan rundingan antara kedua-dua pihak terbabit.

 

Beliau berkata, ILO memaklumkan bahawa kerajaan akan kekal bawah perhatian terhadap sebarang tindakan pembuangan pekerja masa depan atau langkah-langkah lain oleh pengurusan HSBC yang menyasarkan ahli-ahli NUBE, bagi memastikan tindakan-tindakan itu tidak didorong oleh sikap antikesatuan. 

 

Katanya, NUBE juga dibolehkan menjalankan aktivitinya dalam persekitaran yang bebas dari gangguan, ancaman atau usaha untuk memburukkan kesatuan dan ahli-ahlinya, menurut ILO.

 

"Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan (CFA), yang merupakan sebahagian daripada mekanisme dan fungsi penyeliaan ILO dalam Badan Pimpinan ILO dan ia merupakan struktur tiga pihak (bilangan wakil kerajaan, pekerja dan majikan yang sama). Keputusan CFA telah diterima pakai oleh badan pimpinan ILO yang bermesyuarat di Geneva dua minggu lalu.

 

"NUBE mahu kerajaan menghormati dan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh CFA. Kami menggesa kerajaan melihat semula peranan utama mereka iaitu berkhidmat kepada rakyat dan tidak bersekongkol dengan majikan asing yang mengeksploitasi pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Solomon, Kerajaan Malaysia telah meratifikasi dan menerima pakai Konvensyen ILO No 98 Mengenai Hak Berorganisasi dan Perundingan Bersama. Bagaimanapun, ia gagal memberikan perlindungan mencukupi dalam undang-undang dan amalan untuk mekanisme yang berkesan bagi memudahkan proses perundingan kolektif. 

 

"Oleh itu, NUBE telah memfailkan kes terhadap kerajaan kerana tidak menghormati konvensyen itu apabila gagal melindungi NUBE dan ahli-ahlinya daripada gangguan, penganiayaan dan pembuangan pekerja oleh HSBC semasa proses perundingan kolektif yang merangkumi hak untuk piket dan tindakan perhubungan perusahaan.

 

"Tindakan HSBC telah membawa keburukan dan memalukan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan tindakan dan cara ia berurusan dengan para pekerjanya. Ia menambah senarai eksploitasi buruh oleh syarikat-syarikat di negara ini," katanya.

 

Beliau berkata, CFA telah mengambil perhatian tindakan antikesatuan oleh HSBC Bank Malaysia, yang telah dengan sengaja menangguhkan rundingan dan menandatangani perjanjian kolektif dengan kesatuan itu selama bertahun-tahun. 

 

Katanya, ia telah melakukan kesalahan dengan mengganggu, memberhentikan dan memindahkan pekerja atas nama penyusunan semula ekonomi dan membuang pekerja dengan berselindung di sebalik memaksa pekerja agar menerima skim pemisahan sukarela (VSS) tanpa sebarang rundingan dengan kesatuan yang mewakili pekerja.

 

"CFA telah memutuskan bahawa semua penstrukturan semula ekonomi berada dalam lingkungan perundingan kolektif dan sebarang tindakan sedemikian sepatutnya dirundingkan dengan kesatuan terlebih dahulu. Kerajaan telah diminta untuk mengambil langkah yang perlu dan memudahkan rundingan antara NUBE dan HSBC. 

 

"CFA telah meminta kerajaan untuk melibatkan diri dengan pihak-pihak terbabit bagi menyelesaikan sebarang isu tertunggak mengenai dakwaan penamatan atau penggantungan ahli-ahli NUBE disebabkan sikap antikesatuan dan untuk memastikan bahawa, jika sesuai, remedi yang mencukupi disediakan kepada pekerja-pekerja yang terbabit, membenarkan pengembalian semula pekerjaan dan pampasan," katanya.

 

Tambahnya, HSBC telah secara tidak adil menamatkan perkhidmatan dua ahli NUBE kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan berhubung pertikaian dengan bank.

 

"Lebih 300 rungutan dan pertikaian industri telah wujud sejak tiga tahun yang lalu di HSBC akibat ketidakcekapan dan kegagalan Kementerian Sumber Manusia dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak rayuan telah dibuat oleh NUBE.

 

"Sejak aduan dibuat bermula Disember 2020, HSBC Bank Malaysia terus mengabaikan segala bentuk rundingan yang tulen, dan ia telah menolak dan menangguhkan mesyuarat untuk menangani masalah ahli-ahli kesatuan," katanya. - DagangNews.com