KUALA LUMPUR 1 Mac - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berganding bahu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan untuk membangunkan masyarakat peka tenaga agar dapat menyumbang kepada kelestarian industri tenaga negara.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian menyambut inisiatif ini untuk berganding bahu dengan TNB, menjadikan Malaysia Energy Literacy Program (MELP) sebagai inisiatif nasional dengan agenda khusus untuk meningkatkan kepekaan rakyat dan menjadikan mereka lebih berpengetahuan mengenai industri tenaga.
“Apabila kita dapat meningkatkan pengetahuan, kita mampu bertindak balas menggunakan tenaga dengan lebih cekap, menyumbang kepada kemampanan tenaga, menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan terutamanya untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi hari ini melancarkan inisiatif MELP di Putrajaya yang bertujuan memupuk rakyat Malaysia mengenai pentingnya tenaga dan peranan mereka dalam pengurusan tenaga demi kemampanan masa depan.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Huang Tiong Sii; Ketua Setiausaha NRECC, Datuk Rosli Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.
Tambah Nik Nazmi, melalui MELP, usaha bersepadu boleh diatur untuk mewujudkan program-program lebih berkesan dalam membentuk masyarakat peka tenaga, sekaligus memupuk manusia bertamadun yang mempunyai nilai-nilai MADANI.
“Barulah rakyat dapat menghayati kepentingan peranan yang boleh mereka lakukan untuk menyumbang kepada peralihan tenaga menuju negara neutral karbon.

"Rakyat juga perlu didedahkan dengan pelbagai inisiatif dalam peralihan tenaga dan kepentingannya terhadap menangani kesan perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Baharin berkata, TNB akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga yang memberi tumpuan kepada tenaga, perbandaran dan pengangkutan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2023.
Katanya, persidangan itu menghimpunkan para pemimpin pemikiran antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.
“Persidangan Peralihan Tenaga dan MELP mempunyai kaitan rapat sebagai platform menyediakan perkongsian maklumat penyelesaian teknologi mampan dalam usaha mempercepatkan pacuan peralihan tenaganya yang bertanggungjawab.
"Tumpuan kepada peralihan tenaga akan memesatkan lagi transformasi digital pelanggan untuk menerapkan gaya hidup yang mampan serta pintar selaras dengan kehendak dan keperluan masyarakat.
“TNB sendiri mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dengan meningkatkan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB), memperkasa grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV)," katanya.
Menurut Baharin, inisiatif hala tuju kehidupan lestari masa depan itu adalah sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi agenda sejagat dengan melindungi bumi serta mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.
Dalam pada itu, sempena pelancaran MELP, TNB mempamerkan Gallery Walk bertemakan “Together with the Nation through Energy Transition” yang mencakupi keseluruhan rantaian ekosistem tenaga dengan paparan peralihan tenaga dan hala tuju kelestarian, kecekapan tenaga serta TBB di samping ekosistem EV.
Konsep MELP mula dibangunkan oleh TNB sejak 2020 melalui pelbagai kempen bijak tenaga dalam kalangan rakyat, termasuk generasi muda di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat pengguna melalui kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Kini MELP didukung bersama dengan NRECC, ST dan SEDA untuk menyediakan akses kepada maklumat sahih, agar rakyat memahami dan menghayati agenda peralihan tenaga yang perlu mengimbangi cabaran Trilema Tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampanan dan kebolehmampuan. - DagangNews.com








