Nizra Industries peroleh kontrak bekalkan 49 trak penarik meriam Iveco Daily 4x4 bernilai RM15 juta | DagangNews Skip to main content

Nizra Industries peroleh kontrak bekalkan 49 trak penarik meriam Iveco Daily 4x4 bernilai RM15 juta

Trak Iveco Daily 4x4 yang digunakan Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 8 Mei - Sebanyak 49 buah trak Iveco Daily 4x4 dibeli Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi dibekalkan sebagai kenderaan penarik meriam untuk kegunaan Tentera Darat.

 

Ini merupakan pembelian kedua selepas 36 buah kenderaan sama yang diterima tahun lalu.

 

Pembelian tambahan ini membuktikan keyakinan Mindef terhadap aset tersebut yang dibekalkan oleh syarikat tempatan, Nizra Industries.

 

Dalam pembelian sebelum ini Mindef membelanjakan kira-kira RM15 juta bagi kesemua kenderaan.

 

Trak
Ruang menyimpan peluru meriam pada sisi trak.

 

Trak

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Iruwan Dato’ Nik Izani berkata, pembelian ini mengukuhkan lagi peranan syarikat sebagai penyedia kelengkapan pertahanan.

 

Menurut beliau, kesemua trak tersebut akan dipasang dikemudahan milik syarikat itu di Taman Perindustrian Pulau Indah, Selangor.

 

“Trak Iveco Daily 4x4 yang kita bekalkan sebelum ini digunakan ole pasukan Rejimen Artileri Diraja untuk menarik meriam Oto Melara Pack Howitzer 105mm.

 

“Berdasarkan jumlah kenderaan, memang ada keperluan untuk pasukan ini dibekalkan dengan trak yang lebih baik dan ekonomi untuk dioperasikan.

 

“Sebagai syarikat yang diberikan kepercayaan oleh Mindef, kita menyediakan produk iaitu trak yang telah teruji keupayaan selain sesuai dengan apa yang diperlukan pengguna,” ujarnya.

 

Trak
Trak Iveco Daily 4x4 semasa disiapkan di kilang pemasangan Nizra Industries di Klang.

 

Iveco Daily 4x4 dengan enjin 3,000 liter dan berat sekitar lima tan merupakan kenderaan lasak yang banyak digunakan dalam pelbagai industri selain logistik. ketenteraan.

 

Pemilikan trak Iveco Daily 4x4 ini bagi menggantikan trak sedia ada yang sebahagian besarnya telah berusia.

 

Menyentuh mengenai penglibatan Nizra Industries pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024, kata Nik Iruwan, pihaknya komited untuk sama-sama menyumbang kepada ekonomi pertahanan negara.

 

Kapal
Nik Iruwan (kiri) selepas menandatangani kerjasama dengan syarikat perisian Turkiye, LpsChain Ltd pada DSA 2024. 

 

 

Katanya, ruang pameran Nizra Industries mempamerkan beberapa produk yang mempunyai potensi untuk digunakan Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan.

 

“Kita pamerkan dron pengawasan maritim canggih dengan kerjasama syarikat pertahanan Italia yang mana kelengkapan ini kita tawarkan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

“Syarikat juga memeterai beberapa kerjasama dengan rakan strategik industri sebagai penyedia kelengkapan dan sistem yang hendak ditawarkan kepada Mindef dan pengguna lain,” ujarnya. - DagangNews.com