Nilai kerja pembinaan capai RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, meningkat 6.8 peratus - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai kerja pembinaan capai RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, meningkat 6.8 peratus - DOSM

Hampir 60.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan pada suku keempat 2023 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Johor./ Gambar Fauzan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Feb - Nilai kerja pembinaan mencapai RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, mencatatkan peningkatan 6.8 peratus berbanding setahun yang lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Laporan Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Malaysia, Suku Keempat 2023.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi suku tahun yang ketujuh, sektor Pembinaan terus menunjukkan trajektori positif, mencatatkan peningkatan sebanyak 6.8 peratus dengan mencapai nilai kerja berjumlah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023.

 

Katanya, peningkatan pada suku ini diperkukuh oleh pertumbuhan lebih pesat dalam subsektor Kejuruteraan awam yang melonjak sebanyak 18.0 peratus manakala bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas berkembang pada kadar lebih perlahan masing-masing pada 2.3 peratus (Q3 2023: 7.9%) dan 0.3 peratus (Q3 2023: 16.2%).

 

Sebaliknya, kata beliau, subsektor bangunan bukan kediaman mengalami penurunan 1.9 peratus (Q3 2023: -0.7%).

 

"Daripada nilai kerja berjumlah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, sebanyak 41.9 peratus atau bersamaan dengan RM14.3 bilion dalam Kejuruteraan awam, terutamanya bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) dan pembinaan projek utiliti (RM5.2 bilion). 

 

"Nilai kerja untuk bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM9.5 bilion (27.7%) dan RM7.1 bilion (20.9%)," jelasnya.

 

dosm pembinaan

 

Sementara itu, kata Dr Mohd Uzir, aktiviti pertukangan khas menyumbang sebanyak RM3.3 bilion (9.6%) terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik (RM1.1 bilion); pemasangan paip, pemanasan dan pendingin hawa (RM0.7 bilion) dan penyediaan tapak (0.7 bilion).

 

Mengulas prestasi sektor Pembinaan mengikut pemilik projek, Ketua Perangkawan itu berkata, sektor swasta terus menjadi penyumbang utama dengan nilai kerja sebanyak RM20.3 bilion atau merangkumi 59.5 peratus daripada nilai keseluruhan pada suku ini. 

 

Katanya, walau bagaimanapun, pertumbuhan menyederhana kepada 1.4 peratus berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

 

"Sebaliknya, sektor awam, dengan sumbangan sebanyak 40.5 peratus atau bersamaan dengan RM13.8 bilion, mengekalkan pertumbuhan dua digit yang kukuh sebanyak 15.9 peratus selepas mencatatkan 10.9 peratus pada suku ketiga 2023 disokong oleh pertumbuhan ketara 26.6 peratus dalam aktiviti Kejuruteraan Awam,” ujarnya.

 

uzir pad
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, hampir 60.3 peratus daripada nilai kerja pada suku keempat 2023 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Johor. 

 

Katanya, nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.6 bilion atau 25.1 peratus dengan sumbangan terbesar daripada Kejuruteraan awam (RM3.5 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman dengan kedua-duanya bernilai RM2.1 bilion. 

 

"Sementara itu, Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan sejumlah RM4.0 bilion atau 11.8 peratus, terutamanya dalam aktiviti bangunan bukan kediaman (RM1.5 bilion) dan bBangunan kediaman (RM1.4 bilion). 

 

"Selain itu, Sarawak dan Johor kedua-duanya mencatatkan nilai kerja sebanyak RM4.0 bilion,” katanya.

 

Merumuskan prestasi nilai kerja Pembinaan pada tahun 2023, mencapai nilai sebanyak RM132.2 bilion, menunjukkan momentum positif yang berterusan pada 8.4 peratus selepas pulih pada 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus.

 

"Pada tahun tersebut, semua subsektor mengalami peningkatan dengan aktiviti Kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan dua digit yang ketara sebanyak 15.7 peratus, diikuti oleh aktiviti pertukangan khas (8.5%). 

 

"Pada masa yang sama, bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus dan 3.1 peratus," jelas Ketua Pengarah DOSM itu.- DagangNews.com