KUALA LUMPUR 22 Feb - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasar untuk mewujudkan 5,000 start-up dan menghasilkan 5 syarikat berstatus ‘unicorn’ menjelang tahun 2025, menerusi program MYStartup.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, program itu juga akan menyumbang secara langsung kepada usaha untuk meningkatkan jumlah start-up yang inovatif dan berkualiti.
Jelasnya, walaupun dibelenggu pandemik global, Malaysia turut menyaksikan sebuah start-up yang pernah dibiayai oleh Kerajaan mencapai status unicorn.
"Program MYStartup merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER).
"Strategi MYStartup yang telah diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 dan Cradle menjadi agensi focal point bagi ekosistem start-up telah diberi mandat untuk memastikan strategi ini mampu memberi manfaat kepada ekosistem secara keseluruhan," katanya ketika pelancaran MYStartup di sini.
Menurut Ahmad Amzad, program MYStartup terdiri daripada beberapa program yang bertujuan memperkasakan lagi ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia, antaranya MYHackathon 2022, MYStartup Hackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator, MYStartup Internship dan MYStartup Mentorship.
Beliau berkata, program-program itu disasarkan untuk menyokong pembangunan dan perkembangan start-up secara mampan dalam jangka masa panjang melalui pengisian yang tertumpu kepada pembangunan kapasiti dan modal insan.
"Program-program ini juga dijangka dapat membimbing start-up yang memerlukan sokongan dalam menghadapi cabaran daripada arena pasaran baharu dengan lebih baik selain menyediakan padanan pembiayaan berdasarkan keperluan dan latar belakang start-up yang berbeza, seterusnya meningkatkan lagi keupayaan daya saing dan kebolehpasaran start-up.

"Selari dengan konsep Keluarga Malaysia, program anjuran Cradle melalui strategi MYStartup ini akan memastikan start-up dibimbing secara menyeluruh bermula dari peringkat penciptaan idea, kemudian dilatih dan disokong melalui pembiayaan serta memberi peluang untuk mengetengahkan profil syarikat mereka di dalam platform MYStartup untuk mendapat tarikan dari pelabur asing," katanya.
Katanya, MOSTI akan terus komited dalam memastikan program pembangunan start-up dilaksanakan dengan berkesan agar manfaatnya sampai dan dirasai oleh seluruh Keluarga Malaysia.
"Oleh itu, saya menyeru start-up untuk memanfaatkan program-program yang telah disusun atur oleh pihak Cradle sepanjang tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali pula berkata, mereka amat menggalakkan pihak start-up, termasuk yang mempunyai idea inovatif dan ingin menubuhkan syarikat teknologi start-up, supaya mengambil peluang dan menghantar permohonan bagi menyertai program MYStartup.
"Sebagai salah sebuah agensi di bawah naungan MOSTI, Cradle sentiasa akan terus menyokong keperluan ekosistem start-up negara bukan sahaja dengan penyediaan dana, malah rangkaian perniagaan melalui rakan kongsi strategik Cradle," katanya.
Di antara misi jangka masa panjang MOSTI adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 ekosistem start-up utama global dan menyokong misi Malaysia untuk melonjakkan kedudukan negara sebagai peneraju teknologi.
Start-up, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem digalakkan mendaftar di platform MYStartup di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber mengenai ekosistem start-up Malaysia. - DagangNews.com








