MSM guna 100% sumber gula mentah daripada insiatif NDPE Wilmar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSM guna 100% sumber gula mentah daripada insiatif NDPE Wilmar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - MSM Malaysia Holdings Berhad kini menggunakan gula Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Eksploitasi Manusia (NDPE) untuk produk jenama Gula Prai bagi memperkukuh komitmen kemampanan gula.

 

Syarikat tersebut bekerjasama dengan Wilmar Sugar Pte Ltd di bawah inisiatif Gula NDPE Wilmar untuk menjadikan pengeluaran tebu yang mampan alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup individu yang terlibat iaitu buruh dan komuniti.

 

Perjanjian yang telah dimeterai pada Disember 2021 itu membuahkan hasil apabila kedua-dua pihak bekerjasama berdasarkan polisi gula NDPE Wilmar sambil menggalakkan kemajuan dalam kecekapan operasi dan amalan terbaik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, polisi tersebut memastikan sumber gula disalurkan ke semua kilang penapisan dan memerlukan maklumat khusus yang tersedia.

 

Tambahnya, pengagihan itu membantu untuk memerhati dan memahami tahap kebolehlihatan rantaian bekalan sepenuhnya untuk membolehkan kebolehkesanan sumber gula.

 

“MSM sentiasa berusaha meningkatkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami dalam pengeluaran makanan dan memastikan kehadiran MSM sebagai penapis gula mampan bersepadu yang lebih kukuh di pasaran peringkat tempatan dan global. 

 

“Melalui kerjasama dengan Wilmar Sugar, pemain utama dunia dalam komoditi gula dan inisiatif gula NDPE, MSM dapat menzahirkan kemampanan dalam operasi dan perniagaan kami, dan yang paling penting ia bermula pada barisan pertama ekosistem rantaian bekalan produk kami – penyumberan gula mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

pembungkusan baharu gula prai

 

Feizal juga menzahirkan kebanggaan syarikat yang menjadi pilihan di Malaysia sejak 1964 dan mengumumkan pembungkusan baharu yang akan tertera logo gula NDPE untuk meraikan pencapaian baharu ini.

 

MSM mengendalikan dua kilang penapisan gula, satu di Prai, Pulau Pinang dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.05 juta tan gula bertapis, kilang penapisan gula terbesar negara.

 

Selain itu, kumpulan juga mempunyai operasi di Tanjung Langsat, Johor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan gula bertapis dan sedia untuk meningkatkan pengeluarannya. 

 

Menurut Wilmar, polisi gula NDPE dibangunkan berdasarkan perkongsian jangka panjang yang semakin mengembang dan membangun antara pembekal dan pembeli sambil menerima pakai pelbagai bahan dan program berkaitan kemampanan. 

 

Wilmar Sugar mengendalikan perniagaan gula bersepadu merentasi keseluruhan rantaian nilai daripada perladangan tebu kepada pemprosesan, perdagangan dan pengeluaran produk pemanis. 

 

Ia mengendalikan kilang gula, loji penjanaan bersama, kilang penyulingan etanol dan penapisan gula di seluruh dunia, menghubungkan asal-usul dan destinasi utama melalui pasukan peneraju pasaran. - DagangNews.com