MSM catat untung bersih RM41.71 juta 1QFY24, pendapatan melonjak 54.1% | DagangNews Skip to main content

MSM catat untung bersih RM41.71 juta 1QFY24, pendapatan melonjak 54.1%

MSM mencatatkan pendapatan sebanyak RM906.61 juta pada suku pertama FY2024. -Gambar NOOR AZAN FITRI/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Mei - MSM Malaysia Holdings Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM41.71 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM35.88 juta pada suku sama tahun lalu. 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar gula itu memaklumkan keuntungan itu dikaitkan dengan margin yang lebih baik daripada harga jualan purata yang lebih tinggi dan penggunaan kapasiti yang lebih baik.

 

Ini merupakan suku kedua berturut-turut Kumpulan MSM mencatatkan untung bersih dengan 4QFY23, syarikat itu mencatatkan untung  RM42.87 juta.

 

Dari segi pendapatan, MSM mencatatkan jumlah sebanyak RM906.61 juta pada suku ini, iaitu RM318.22 juta atau 54.1% lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun lalu sebanyak RM588.39 juta. 

 

Katanya, ini disebabkan volum jualan keseluruhan yang lebih tinggi, purata harga jualan yang lebih tinggi dan insentif yang diterima untuk gula pek tertentu yang dijual di pasaran domestik.

 

Dalam pelaporan itu, MSM merekodkan insentif kepada industri gula yang diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) berjumlah RM72 juta bagi tempoh tahun ini.

 

Kerajaan memberikan insentif bulanan sebanyak RM1,000 setiap tan untuk gula kasar (CGS) bagi pek satu dan dua kilogram serta gula halus pek satu kilogram.

 

Dilaporkan insentif gula pasir kasar dan gula pasir halus masih berterusan sehingga kerajaan membuat semakan semula mekanisme kenaikan harga yang dijangka berlaku separuh kedua 2024.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, pemberian insentif kewangan kepada syarikat pengeluar gula yang dilaksanakan ketika ini adalah langkah sementara.

 

Sementara itu, mengenai prospek 2024, MSM berkata, Industri Gula Bersama sedang berbincang dengan Kerajaan untuk menyiapkan mekanisme harga yang mampan untuk segmen peruncitan domestik bagi memastikan keselamatan makanan dan kelestarian jangka panjang industri.

 

Katanya, industri gula masih menghadapi kos input tinggi yang berterusan dengan kargo masih tidak stabil ekoran krisis Laut Merah sejak 1Q 2024. Selain itu, kos gas asli kekal tinggi manakala import gula mentah terjejas oleh Ringgit yang lemah. 

 

Walau bagaimanapun katanya, harga gula mentah menunjukkan penurunan disebabkan ramalan pengeluaran yang lebih baik dari Brazil.

 

"Kumpulan kami terus mengukuhkan pasaran domestik dan eksport kami di tengah-tengah permintaan yang stabil dan meneroka peluang pasaran serantau lain. 

 

"Pertumbuhan dalam segmen eksport adalah selaras dengan inisiatif untuk mengoptimumkan kadar penggunaan kilang MSM Johor dan meningkatkan jumlah pengeluaran Kumpulan secara keseluruhan," ujarnya.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM mencatatkan keuntungan untuk dua suku berturut-turut walaupun tidak boleh mengabaikan bahawa industri gula terus bergelut dengan kos input yang tinggi secara berpanjangan, dengan kadar pengangkutan kekal tidak menentu, diburukkan lagi dengan krisis Laut Merah sejak 1QFY24. 

 

Kata beliau, kos gula mentah masih jauh lebih tinggi daripada tahap yang dapat diuruskan iaitu di bawah AS$0.15 sen setiap paun.

 

"Oleh itu terdapat keperluan untuk memastikan industri gula bersama kekal mampan bagi menjamin keperluan negara,” kata Syed Feizal.

 

Menurut beliau, di tengah-tengah cabaran ini, Kumpulan tetap fokus untuk mengembangkan bahagian pasaran domestiknya dengan meluaskan saluran pasaran, meningkatkan jangkauan industri, dan meningkatkan titik capaian pengguna, memanfaatkan permintaan yang stabil. 

 

"Kami juga sedang giat mengembangkan pasaran eksport kami dari 17 negara sekarang kepada 25 negara di luar Asia Pasifik dan Asia Selatan ke Afrika, Eropah dan Amerika Utara. 

 

"Pertumbuhan dalam segmen eksport sejajar dengan inisiatif strategik kami untuk mengoptimumkan kapasiti MSM Johor dan meningkatkan jumlah pengeluaran keseluruhan Kumpulan. Hasil eksport kami melebihi RM630 juta tahun lepas dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang stabil,” tambahnya.- DagangNews.com