IPOH 10 April - Syarikat pengeluar santan tempatan, M&S Food Industries Sdn Bhd (M&S Food) tampil membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengedarkan 5,000 pek santan secara percuma.
Inisiatif yang dilaksanakan bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) ini merupakan tanggungjawab sosial korporat untuk membantu golongan peniaga tersebut.
Pengarah Urusan M&S Food, KC Chung berkata, pihaknya ingin sama membantu usahawan PKS yang menggunakan santan dalam produk makanan keluaran mereka.
Menurut beliau, seramai 200 usahawan makanan dan minuman dari daerah Kinta terlibat dalam program tersebut.
"Sumbangan santan percuma bernilai kira-kira RM15,000 ini selain meringankan modal perniagaan mereka, ia merupakan sokongan kami kepada usahawan tempatan.
"Pada masa sama kita juga ingin mendekatkan produk santan M&S kepada para peniaga masakan semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini.
“Kami ingin mempertingkatkan lagi kesedaran tentang kebaikan produk ini dengan kerjasama STeP dan agensi lain pada masa hadapan," ujarnya.

Santan kelapa M&S yang dikenali dengan pek kotak berwarna kuning merupakan perusahaan tempatan yang terletak di Kawasan Perindustrian Silibin di sini.
Sebelum ini, agihan kotak santan percuma juga telah dilakukan kepada peniaga-peniaga di bazar Ramadan Stadium Indera Mulia Ipoh.

Jelas Chung lagi, sebagai perusahaan tempatan yang berasal dari Ipoh, pihaknya mahu kembali menyumbang kepada masyarakat niaga melalui program sedemikian.
"Kami yakin boleh membantu lebih ramai usahawan tempatan menerusi program seperti ini,” katanya.
Terdahulu, sumbangan kotak santan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Perak, Salbiah Mohamed di pekarangan bangunan M&S Food di Silibin pagi tadi.
Hadir sama Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli. - DagangNews.com








