KUALA LUMPUR 15 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan seminar dan pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2023 pada 6 Julai ini bagi memperkenalkan teknologi inovatif untuk industri sawit yang dibangunkan oleh penyelidiknya.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya akan menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan penggiat industri dan usahawan tempatan.
Beliau berkata, TOT 2023 membuka peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan MPOB.
"MPOB komited menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan teknologi dan inovasi baharu yang memberi manfaat kepada industri sawit negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Parveez, sehingga 2022, sejumlah 712 teknologi dan 194 perkhidmatan dihasilkan melalui aktiviti R&D untuk tujuan pengkomersialan dan digunapakai pihak industri dan usahawan.
"Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB merangkumi keseluruhan spektrum industri sawit daripada bahan tanaman kepada produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit," katanya.
TOT adalah acara tahunan MPOB yang bertujuan untuk menghebahkan teknologi dan perkhidmatan terkini hasil daripada R&D MPOB kepada usahawan tempatan dan pihak yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit.
Rakan industri, usahawan dan orang ramai dipelawa mengunjungi pameran TOT MPOB 2023 dan berinteraksi dengan pempamer di Dewan Sawit, Ibu Pejabat MPOB mulai 11.30 pagi hingga 5 petang.
Turut diadakan Sesi Teh Tarik (Sesi perkongsian pengkomersialan teknologi MPOB dan pembiayaan perniagaan) bermula pukul 2.15 petang. Masuk adalah percuma untuk semua pelawat.
Untuk maklumat lanjut mengenai TOT MPOB 2023, sila layari portal TOT di tot.mpob.gov.my. - DagangNews.com








