Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat | DagangNews Skip to main content

Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat

KUALA LUMPUR 2 Feb - Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat yang baharu berkuat kuasa hari ini.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelantikan Mohd Irwan dibuat berdasarkan kualiti kepimpinan dan pengalaman luasnya dalam bidang korporat.

 

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menaruh keyakinan penuh kepada kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab dan menyokong misi serta wawasan Bank Rakyat untuk terus membantu ekosistem koperasi dan keusahawanan sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan media.

 

Mohd Irwan sebelum ini memangku jawatan Pengerusi Bank Rakyat sejak 1 November 2022 susulan persaraan Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar.

 

Beliau mempunyai pengalaman selama lebih 21 tahun sebagai peguam bela yang banyak terlibat dengan kes melibatkan undang-undang syarikat dan korporat.

 

Pada 24 Julai 2020, Mohd Irwan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan menerajui pelbagai jawatankuasa di peringkat lembaga pengarah bank.

 

irwan

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Mohammad Hanis Osman berkata, pihak pengurusan dan seluruh kakitangan Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Mohd Irwan sebagai Pengerusi.

 

"Menerusi pengalaman luasnya, beliau mampu memimpin pelaksanaan Pelan Perniagaan 2024 dan Pelan Strategik jangka panjang bank.

 

"Ini akan meletakkan Bank Rakyat pada kedudukan yang tepat untuk mencapai prestasi yang mampan di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com