MOF mulakan perbincangan serah semula aset RM20 bilion Tabung Haji - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MOF mulakan perbincangan serah semula aset RM20 bilion Tabung Haji - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga Tabung Haji yang ke-60 di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur pada 29 September 2023.

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan (MOF) pada 2018, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal serta  melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu. 

 

"Setelah meneliti perkembangan dan bincang dengan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar, saya telah beritahu daripada awal bahawa sebaik sahaja TH diurus dengan baik, maka MOF akan memulakan perbincangan supaya menyerahkan semua aset yang dipegang SPV.

 

"Ini juga mematikan fitnah amat tidak bertanggungjawab pada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dan kerajaan ketika itu seolah-olah memindahkannya pada kelompok bukan Islam. Tidak, saya lihat rekodnya, dan di MOF, ia masih dalam pegangan MOF, sekarang saya pegang amanahnya," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

 

Pada Mac 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika itu berkata, langkah memindahkan aset RM19.9 bilion kepada SPV berjaya 'menutup lubang’ jurang antara aset dan liabiliti yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu. 

 

Perdana Menteri berkata, selagi beliau diberi amanah memegang tanggungjawab menjaga negara, beliau tidak akan bertolak ansur dalam segala percubaan untuk merosakkan agensi mahu pun syarikat milik negara bagi mengaut keuntungan, lapor Bernama.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat pameran gambar ketika merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga Tabung Haji ke-60 di Menara TH, pada 29 September 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

 

 

"Sebab itu dalam soal tatakelola, kamu kecamlah saya pun. Selagi saya ada amanah ini, saya tidak akan tolak ansur untuk pastikan negara ini diurus dengan baik dan halang percubaan untuk merosakkan agensi ini kerana kegelojohan dan ketamakan beberapa orang.

 

"Dan saya beri jaminan sebaik sahaja dibaiki maka kita serahkan semula (aset), tapi kerajaan tidak boleh tanggung kerugian kerana kecuaian-kecuaian ini. Kita lihat contohnya TH, sebaik ada tatakekola baik, dengan cepat ia dipulihkan.  Alhamdulillah, sebab itu saya ucapkan tahniah kepada pengurusan TH," katanya. - DagangNews.com