Model perniagaan Pernas menerusi BEST-BYOB berkesan bantu usahawan asnaf, B40 | DagangNews Skip to main content

Model perniagaan Pernas menerusi BEST-BYOB berkesan bantu usahawan asnaf, B40

Datuk Adissadikin Ali (kiri) bersama Datuk Ewon Benedick (tengah) dan Mazlan Ibrahim (kanan) semasa majlis pelancaran B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Model perniagaan yang ditawarkan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menerusi B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) terbukti berkesan khusnya bagi membantu usahawan asnaf dan B40.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, sebagai permulaan perniagaan, modal adalah isu utama dan menerusi perniagaan pra-francais yang ditawarkan adalah pendekatan terbaik yang boleh disediakan kepada usahawan-usawan baharu.

 

Beliau berkata, sebagai pengendali dana, pihaknya perlu memastikan ia disalurkan kepada usaha yang betul.

 

"Semua pihak kena faham, dana ini adalah daripada sumber kewangan sosial iaitu zakat dan sumbangan, jadi ia perlu digunakan kepada usaha yang betul

 

"Program francais Pernas sudah terbukti berkesan dan kami sudah lihat cara pemasaran, pengendaliannya dan bantuan kepada usahawan, ia sangat menarik dan bersesuaian dengan apa yang diperlukan oleh usahawan baharu," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian inisiatif B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) 2024, hari ini. 

 

Program itu dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick. 

 

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, fokus utama mereka adalah perniagaan francais dan itu yang boleh kami tawarkan kepada RHB serta perserta program itu.

 

Beliau berkata, potensi perniagaan itu adalah sangat besar dan risiko lebih rendah berbanding perniagaan lain.

 

"Menerusi apa yang ditawarkan, setiap usahawan diberikan modal perniagaan, bimbingan dan segala keperluan bagi memulakan perniagaan.

 

"Bagi mereka yang tiada pengalaman, ini adalah model perniagaan terbaik kepada mereka dan ia ibarat langkah kanan," katanya.

 

Sementara itu, Ewon berkata, jenama yang terlibat dengan program BEST-BYOB 2024 ini mempunyai pengikut tersendiri dan ia mudah bagi asnaf dan B40 untuk memulakan perniagaan pra-francais ini.

 

"Mungkin pada masa hadapan apabila perniagaan mereka sudah stabil, ia boleh dikembangkan kepada pemilikan sendiri dan sebagainya.

 

"Agensi di bawah kementerian ini memiliki pelbagai skim kepada usahawan khususnya Bumioutera yang boleh dimanfaatkan apabila perniagaan mereka sudah stabil tetapi sebagai permulaan, saya setuju untuk mereka bermula dengan model perniagaan Pernas," katanya. - DagangNews.com