MN Holdings peroleh projek pencawang loji solar daripada Samaiden bernilai RM26 juta | DagangNews Skip to main content

MN Holdings peroleh projek pencawang loji solar daripada Samaiden bernilai RM26 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 April - MN Holdings Bhd (MNHB) memperoleh kontrak bernilai RM25.96 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan loji fotovoltaik solar berskala besar di Kulim, Kedah.

 

Menurut makluman syarikat di Bursa Malaysia, MNHB mengumumkan kontrak itu telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya MN Power Transmission Sdn Bhd oleh Samaiden Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Samaiden Group Bhd.

 

Kontrak itu melibatkan pembinaan kemudahan penyambungan stesen peningkatan baharu untuk pencawang solar berskala besar, serta memperluaskan satu ruang kemudahan penyambungan 132kV di Stesen Janakuasa NUR 132kV sedia ada untuk NUR Renewables Sdn Bhd.

 

Kontrak itu ditetapkan untuk tempoh 11 bulan dengan tarikh bermula pada 1 April.

 

Sebelum ini, MN Holdings memperoleh dua kontrak kejuruteraan pencawang bernilai RM29.3 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan satu kontrak kabel bawah tanah bernilai RM13.5 juta daripada pelanggan yang menyediakan perkhidmatan pusat data.

 

Projek terbaharu ini meningkatkan buku pesanan MN Holdings kepada RM444.5 juta, menurut kenyataannya pada Khamis, yang dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan secara positif dalam tempoh dua hingga tiga tahun kewangan akan datang.

 

 

MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang
                            Datuk Dang Siong Diang

 

 

Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang berkata, segmen kejuruteraan pencawang syarikat akan terus mencapai kadar penambahan yang kukuh.

 

“Dengan bidaan terbuka untuk pusingan kelima program LSS atau LSS-Peralihan Tenaga SuRiA baru-baru ini oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang menawarkan jumlah kuota penjanaan 2,000MW, kami menjangkakan lebih banyak projek kejuruteraan pencawang akan datang,” katanya. 

 

TERBAHARU: MN Holdings menang kontrak kerja stesen janakuasa Pasir Gudang TNB bernilai RM17.6 juta 

 

Bagi suku kewangan berakhir 31 Dis 2023 (2QFY2024), syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM3.92 juta, meningkat 51% daripada RM2.58 juta setahun sebelumnya.

 

Perolehan suku tahunannya meningkat 82.7% tahun ke tahun kepada RM74.92 juta daripada RM41 juta, hasil daripada peningkatan aktiviti pembinaan dalam segmen kejuruteraan pencawang.

 

Pada penutupan pasaran Khamis, saham MN Holdings kekal tidak berubah pada 64 sen, memberikannya permodalan pasaran RM284.9 juta. - DagangNews.com