KUALA LUMPUR 26 Mei — Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang MN Holdings Berhad mencatat prestasi suku tahunan paling kukuh sejak penyenaraiannya pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY2023), atas sumbangan peningkatan aktiviti diterajui segmen kejuruteraan substesen disokong oleh permintaan daripada pengguna sektor tenaga.
Keuntungan selepas cukai (PAT) MN Holdings bagi 3QFY2023 melonjak 90.36% tahun atas tahun (y-o-y) kepada RM3.59 juta daripada RM1.89 juta setahun lalu, dengan perolehan juga meningkat 57.27% kepada RM45.78 juta, daripada RM29.11 juta.
Perolehan sesaham suku tahunan (EPS) naik kepada 0.9 sen, daripada 0.46 sen pada 3QFY2022.
Pertumbuhan dari segi hasil adalah disokong oleh segmen kejuruteraan pencawang MN Holdings, yang mana perolehan utama mencatat lebih daripada dua kali ganda kepada RM20.75 juta, daripada RM7.96 juta.
Segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah terus menjadi penyumbang teras, dengan pertambahan sebanyak 18.36% kepada RM25.03 juta, daripada RM21.14 juta.
Prestasi terkini meningkatkan lagi PAT terkumpul MN Holdings dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 (9MFY2023) kepada RM7.37 juta atau 1.83 sen sesaham, meningkat 12.35% tahun ke tahun daripada RM6.56 juta atau 1.6 sen sesaham dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh sembilan bulan itu meningkat 44.33% kepada RM113.84 juta, daripada RM78.88 juta, apabila sumbangan daripada kedua-dua segmen berkembang dengan garisan teratas segmen kejuruteraan pencawang meningkat lebih dua kali ganda berbanding setahun lalu.

Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay berkata pertumbuhan yang ketara bergantung kepada kemajuan berterusan dan permulaan beberapa projek utama.
“Dalam peralihan tenaga, sektor utiliti menyaksikan momentum pertumbuhan yang mampan melalui peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan seterusnya disokong oleh aktiviti berterusan dalam kedua-dua segmen utiliti konvensional termasuk tenaga dan gas.
“Kini, pecutan industri pusat data di negara ini memberikan landskap baharu dan menarik untuk Kumpulan, memanfaatkan kepakaran teras kami dalam kejuruteraan, pembinaan utiliti bawah tanah dan pencawang.
“Buku tempahan MN Holdings yang belum dilaksanakan bernilai RM337.67 juta setakat 22 Mei 2023 dijangka menyokong perolehan Kumpulan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” tambah beliau.
Pada April, MN Holdings memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat China, Shanghai DC-Science Co Ltd bagi membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertama di luar China iaitu Shanghai DC-Science, di Johor.
“Kami optimistik akan mengakhiri FY2023 dengan pencapaian baik, dan mengharap untuk meraih peluang-peluang baharu.” - DagangNews.com








