KUALA LUMPUR 14 April - Universiti Multimedia (MMU) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Al-Quds University dari Palestin bagi melaksanakan kerjasama dalam pembangunan program akademik dan pelajar.
Menerusi MoU itu, kedua-dua universiti akan mengadakan program pertukaran pelajar, program artikulasi, ijazah berkembar dan program pasca siswazah serta aktiviti penyelidikan serta geran padanan.
Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, perjanjian tersebut membolehkan MMU mengembangkan lagi peranannya dalam bidang pendidikan berasaskan teknologi ke luar negara terutama ke negara Timur Tengah.
Beliau berkata, pihaknya yakin wilayah Timur Tengah mempunyai banyak potensi dan peluang untuk diterokai.
"MMU amat gembira kerana meneroka kerjasama dengan rakan baharu kami, Al-Quds University dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), multimedia dan program-program berkaitan teknologi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MoU berkenaan ditandatangani oleh Mazliham di kampus MMU Cyberjaya dan Presiden Al-Quds University, Prof Imad Abukishek di pejabatnya di Palestin, baru-baru ini.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Brunei dan Maldives, Walid Abu Ali, manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Palestin, Dr Basri Saleh, dan Ketua Pengarah Penyelidikan Sains kementerian Dr Shaher Zyoud berada di lokasi masing-masing di Palestin.

Turut hadir Naib Presiden Ekplorasi Pemasaran, Libat Urus dan Titik Sentuh MMU, Prof Dr Hairul Azhar Abdul Rashid. - DagangNews.com








