MMHE keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM73.92 juta pada 2QFY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MMHE keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM73.92 juta pada 2QFY24

MMHE keluar daripada kerugian apabila meraih untung bersih RM73.92 juta pada 2QFY24. Gambar Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd (MMHE)
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd (MMHE) memperoleh untung bersih RM73.92 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), beralih daripada kerugian bersih sebanyak RM388.7 juta setahun lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, MMHE berkata, suku tahun yang berakhir pada 30 Jun 2024 itu menyaksikan kumpulan itu merekodkan pendapatan sebanyak RM900.03 juta, turun 14.7% daripada RM1.06 bilion pada 2QFY23.

 

Ini diterjemahkan kepada pendapatan setiap saham sebanyak 4.6 sen berbanding kerugian setiap saham sebanyak 24.3 sen pada 2QFY23.

 

Menurut MMHE, peningkatan untungan bersihnya disebabkan terutamanya oleh keuntungan operasi sebanyak RM67.7 juta dalam segmen kejuruteraan beratnya, berbanding kerugian operasi sebanyak RM390 juta pada 2QFY23.

 

"Keuntungan operasi ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pengiktirafan tuntutan pemulihan kos, sementara kerugian operasi yang dialami pada suku tahun yang sama tahun lalu disebabkan oleh tambahan peruntukan kos akibat jadual yang dipinda untuk projek-projek yang sedang berjalan," katanya.

 

Untuk tempoh separuh pertama 2024 (1HFY24), kumpulan tersebut mencatatkan untung bersih RM84.34 juta, berbanding kerugian bersih sebanyak RM385.16 juta pada 1HFY23, sementara hasilnya mencapai RM1.88 bilion berbanding RM1.55 bilion pada tempoh tahun lepas.

 

MMHE dalam pada itu, menyatakan pelaburan oleh syarikat minyak utama dalam aktiviti huluan dijangka memberikan peluang kepada segmen marin dalam projek penukaran.

 

Kumpulan itu berkata ia berhasrat untuk memperluas asas pelanggan LNGC (kapal gas asli cecair) memandangkan pertambahan jumlah pengangkut di pasaran.

 

"Namun, persaingan sengit antara pesaing tetap menjadi cabaran memandangkan kemunculan kilang pembaikan LNGC baru di negara jiran dan China," tambahnya.

 

Sementara itu, kumpulan tersebut berkata ia akan terus memperbaiki strategi kontrak untuk mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan turun naik harga.- DagangNews.com