Mitsubishi Motors Malaysia sumbang sistem solar berkuasa tinggi untuk rumah Orang Asli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitsubishi Motors Malaysia sumbang sistem solar berkuasa tinggi untuk rumah Orang Asli

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Julai - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyumbangkan sistem solar berkuasa tinggi untuk membolehkan akses kepada tenaga solar di ruang komuniti Orang Asli atau biasanya dikenali sebagai rumah adat mereka.

 

Sumbangan itu dilakukan melalui Yayasan Keamanan Global, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan misi untuk membina masyarakat Orang Asli yang berdaya tahan dan bersatu padu.

 

Kekurangan akses kepada elektrik di rumah Orang Asli dan ruang komuniti membawa risiko kesihatan, perbelanjaan tenaga yang mahal dan kesan alam sekitar. 

 

Untuk mendapatkan cahaya pada waktu malam, mereka membuat unggun api dengan membakar buah sawit kering yang menghasilkan banyak asap hingga menyebabkan batuk dan mata berair dalam kalangan penduduk kampung, terutamanya kanak-kanak.

 

Selain itu, rumah dan ruang komuniti dibina daripada sumber di dalam hutan seperti kayu buluh dan barangan tambahan seperti zink dan PVC. Sesetengah bahan ini mudah terbakar, menjadikannya berbahaya untuk menggunakan api sebagai sumber cahaya.

 

Sesetengah keluarga Orang Asli juga bergantung kepada tenaga pakai buang seperti petrol untuk menjalankan penjana dan bateri untuk menghidupkan lebih daripada sekadar lampu.

 

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Mitsubishi Motors Malaysia, Arba Rahman berkata, sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia, pihaknya mahu melihat masyarakat pribumi menjalani kehidupan yang lebih baik. 

 

"Dengan sistem solar berkuasa tinggi, kami akan menyediakan akses komuniti Orang Asli kepada tenaga mampu milik dan boleh diperbaharui yang meningkatkan produktiviti.

 

 

mitsubishi

 

 

"Ia membolehkan projek komuniti diteruskan walaupun selepas gelap, meminimumkan kesan kesihatan dan alam sekitar daripada tenaga tidak boleh diperbaharui, pencemaran alam sekitar yang lebih rendah dan mengurangkan perbelanjaan tenaga daripada membeli sumber tenaga mahal yang tidak mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

 

mitsubishi
Arba Rahman (kiri) menerima cenderahati kraftangan daripada salah seorang masyarakat Orang Asli 

 

 

Beliau menambah, usaha itu bersama-sama dengan program CSR global Mitsubishi Motors Corporation (MMC) ‘STEP to the future’ yang memfokuskan kepada empat tema utama, Masyarakat, Keselamatan Lalu Lintas, Alam Sekitar dan Rakyat. 

 

"Di MMM, kami memberi tumpuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat melalui penekanan kepada Alam Sekitar dan Rakyat, untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik yang mana orang ramai boleh berharap untuk masa depan lebih baik," katanya. - DagangNews.com