MISC bakal raih untung bersih RM75 juta setahun hasil sewa tiga kapal kepada QatarEnergy - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

MISC bakal raih untung bersih RM75 juta setahun hasil sewa tiga kapal kepada QatarEnergy - Kenanga Research

Gambar hiasan kapal LNG MISC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 April - MISC dijangka meraih untung bersih sebanyak RM75 juta setiap tahun hasil kontrak sewaan tiga kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) daripada QatarEnergy untuk tempoh selama 15 tahun.

 

Menurut Kenanga Research, unjuran ini berdasarkan kadar sewa harian (DCR) bagi setiap kapal tersebut pada AS$120,000 (RM570,000).

 

Kata firma penyelidikan itu, ini sedikit tinggi berbanding kadar pasaran semasa untuk mencerminkan kapasiti kapal yang lebih besar.

 

"Potensi perbelanjaan modal (capex) untuk ketiga-tiga kapal itu dianggarkan berjumlah AS$780 juta (RM3.7 bilion).

 

"Ini berdasarkan harga pasaran terkini dan merujuk kapasiti 165,000 cbm daripada majalah bulanan MISC pada Februari 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, saiz kapal terbaru ini sama dengan kapasiti kapal untuk kemenangan kontrak 2022 daripada QatarEnergy.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 15 tahun daripada QatarEnergy

 

"Tiga buah kapal LNG ini akan dibina oleh Samsung Heavy Industries," jelasnya.

 

Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, jangkaan untung bersih RM75 juta setahun daripada sewaan tiga kapal berkenaan bermula 2026 bersamaan dengan 4% daripada unjuran tahun kewangan 2024 (FY2024F).

 

"Kami tidak menjangkakan sebarang isu dengan pelaksanaan projek ini memandangkan penglibatannya dalam kontrak serupa untuk QatarEnergy sebagai sebahagian daripada konsortium yang merangkumi MISC, Kawasaki Kisen Kaisha, Nippon Yusen Kabushiki Kaisha dan China LNG Shipping," ujarnya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'Market Perform' dengan menaikkan harga sasaran (TP) 2% kepada RM7.69 daripada RM7.51 sesaham. - DagangNews.com