KAJANG 26 Mei - Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengadakan kerjasama penyelidikan bagi menguji keberkesanan Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS (MCAS) dan seterusnya mempertingkatkan keupayaan dan kebolehsediaan sistem itu menerusi satu kajian rintis yang akan melibatkan penunggang motosikal sebenar.
MIROS dalam satu kenyataan memaklumkan, melalui kajian itu, sebanyak 45 unit sistem MCAS akan dibangunkan dan dipasangkan pada motosikal milik penunggang motosikal persendirian dalam kalangan mereka yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan motosikal.
"Proses pencarian 45 orang peserta kajian akan melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang yang dijadualkan bermula pada bulan Jun 2022. Pemilihan tersebut akan diumumkan secara rasmi melalui platform media sosial dan melalui kenyataan media.
"Sistem MCAS akan dipasangkan pada motosikal peserta selama tiga bulan untuk menguji keberkesanan sistem amaran perlanggaran tersebut. Hasil kajian ini dijangka akan dikeluarkan pada suku
pertama tahun 2023.
"Kajian itu akan dibiayai secara bersama oleh PLUS yang akan menyumbangkan dana bagi membiayai kos pengumpulan dan analisa data kajian, sementara kos pembangunan 45 unit sistem MCAS akan dibiayai menggunakan dana penyelidikan MIROS," katanya.
Tambah kenyataan itu, PLUS juga akan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan data kajian.
"MIROS sangat berbesar hati atas sokongan dan penglibatan PLUS dalam kajian rintis ini yang juga merupakan satu bukti jelas komitmen PLUS dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah MIROS, Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, kerjasama strategik antara MIROS dan PLUS dalam kajian rintis pemasangan sistem amaran perlanggaran motosikal merupakan satu tanda aras dan pencapaian yang penting dalam kemajuan dan kapasiti penyelidikan MIROS.
"Kerjasama ini diharap dapat menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama dan sokongan pihak yang terlibat dalam rekabentuk dan pengeluaran motosikal serta semua pemegang taruh untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal melalui pengaplikasian hasil kajian dan penggunaan teknologi termaju dalam reka bentuk motosikal yang lebih selamat,” katanya.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail pula berkata, sebagai rakan strategik untuk keselamatan, PLUS berasa gembira diberi peluang berkolaborasi bersama MIROS dalam kajian rintis itu.
"Kami berharap hasil daripada penyelidikan ini mampu meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
"Ia seiring dengan pendekatan 3E (Engineering, Enforcement & Education) yang diadaptasikan oleh PLUS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan sepanjang rangkaian lebuh raya kami. Ia juga bertepatan dengan matlamat kami untuk menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang perjalanan mereka," katanya.
Hasil kajian tersebut dijangka dapat memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.
Inisiatif itu juga merupakan salah satu strategi untuk menyokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Nasional 2022-2030 untuk menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan penunggang motosikal. - DagangNews.com








