KUALA LUMPUR 15 Ogos - Selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, sektor pembinaan dan hartanah menunjukkan belian yang kukuh selain saham modal kecil meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sejumlah 3.53 bilion saham bernilai RM1.89 bilion bertukar tangan.
"Secara teknikalnya, Maybank IB menjangka Indeks FBMKLCI berjulat antara 1,440 mata dan 1,470 mata hari ini, dengan sokongan disemak semula kepada 1,440 mata dan 1,413 mata daripada 1,396 mata," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada Sabtu lalu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri dengan majoriti selesa sebanyak 86%, 73% dan 61% di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Sementara itu, pakatan pembangkang, PN mengekalkan majoriti besar di Terengganu dan Kelantan (hasil penguasaan berterusan PAS di negeri-negeri pantai timur) dan memperoleh majoriti besar di Kedah.
Indeks FBMKLCI dibuka minggu ini pada nota negatif kesan daripada prestasi lemah merentas pasaran ekuiti serantau akibat kebimbangan mengenai kenaikan kadar apabila data CPI terkini menunjukkan inflasi yang lebih kukuh di Amerika Syarikat (AS)
Indeks penanda aras ditutup rendah pada 1,457 mata selepas susut 0.16pt, atau 0.01%, diterajui oleh penurunan DIALOG ( Dialog Group Berhad ), PPBGROUP (PPB Group Berhad), HLFG (Hong Leong Financial Group Berhad) dan PMETAL (Press Metal Aluminium Holdings Berhad). - DagangNews.com








