KUALA LUMPUR 12 Julai - MIDF Research mempunyai keraguan sama ada pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mulai 1 September akan dapat mengatasi masalah inflasi perubatan yang meningkat.
Menurut firma penyelidikan itu, inflasi perubatan yang tinggi di Malaysia tidak hanya dipengaruhi oleh 'sindrom meja bufet' yang mana inisiatif MHIT dilihat tidak menangani beberapa lagi isu struktur yang turut melibatkan faktor peraturan dan antarabangsa.
"Walaupun demikian, penerimaan program MHIT dijangka meningkat, yang akan menyumbang kepada peningkatan premium dan pendapatan yang lebih baik.
"Ini disebabkan oleh penawaran premium yang lebih berpatutan dalam program pembayaran bersama, menjadikan insurans kesihatan lebih terjangkau untuk sebahagian besar penduduk.
"MHIT telah menjadi salah satu segmen insurans yang berkembang pesat, terutamanya dengan meningkatnya penggunaan penjagaan kesihatan yang diprivatisasi dan mahal di Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, dilaporkan berkata, BNM mewajibkan pengendali insurans dan takaful yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos dalam produk MHIT.
Ia antara langkah bagi menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak, mendorong penggunaan perkhidmatan kesihatan lebih bertanggungjawab dan seterusnya merendahkan kos perlu dibiayai bersama oleh 'pool' (berdasarkan konsep pengumpulan risiko).
Tindakan itu juga, kata Hui Ying, dapat mengurangkan tuntutan palsu dan seterusnya dapat merendahkan kos secara keseluruhan serta meningkatkan kemampanan jangka panjang produk MHIT.
Selain itu, kata MIDF Research, secara teorinya nisbah tuntutan MHIT sepatutnya mengalami penurunan, sekiranya kesan moral iaitu tuntutan palsu dapat dikurangkan.
Namun, jelas firma penyelidikan itu, kesan ini mungkin tidak dapat dirasai dengan segera memandangkan kebanyakan program kesihatan sedia ada tidak memerlukan pembayaran perkongsian berama, jadi majoriti perkara mungkin kekal tidak berubah.
"Walau bagaimanapun, premium yang lebih murah sepatutnya dapat meningkatkan nisbah kekal menyambung premium.
"Walaupun inflasi perubatan mungkin terus meningkatkan tahap premium tahun demi tahun, kos mutlak akan dikurangkan - menjadikan ia lebih terjangkau bagi pengguna untuk terus meneruskan rancangan mereka," jelasnya.
MIDF Research dalam pada itu tidak menjangkakan peningkatan keuntungan yang signifikan dalam masa terdekat kepada syarikat insurans.
Katanya, walaupun pendapatan mungkin akan meningkat, segmen insurans kesihatan sering dikaitkan dengan hasil yang lemah kerana margin yang tipis.
"Oleh itu, walaupun terdapat peningkatan yang ketara dalam penerimaan premium, kos yang tinggi dan margin yang kecil mungkin akan menghalang peningkatan pendapatan yang sepadan.
"Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan beberapa syarikat insurans akan menilai semula strategi mereka.
"Kami tidak terkejut jika beberapa syarikat insurans menggunakan peluang ini untuk meningkatkan bahagian pasaran mereka atau mungkin mengalihkan fokus daripada segmen ini sepenuhnya, menganggapnya sebagai pengagihan sumber yang tidak efisien. Walau bagaimanapun, ini memerlukan pendekatan tunggu dan melihat," ujarnya.
MIDF Research seterusnya mengekalkan saranan Positif kepada sektor ini berikutan petunjuk ekonomi yang kekal memberangsangkan dengan Allianz dan Takaful Malaysia jadi pilihan utama. - DagangNews.com








