MIDF Research 'potong' unjuran pendapatan Sunway REIT bagi FY23 sebanyak 1.3% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research 'potong' unjuran pendapatan Sunway REIT bagi FY23 sebanyak 1.3%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan FY23 bagi Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) sebanyak 1.3% selaras dengan kehilangan pendapatan daripada Sunway Medical Centre.

 

Firma itu berkata, sebelum ini Sunway REIT mengumumkan pelupusan Sunway Medical Centre (Menara A & B) pada Disember 2022 dan dijangka siap pada 1HFY23.

 

"Bagaimanapun, kami kekal positif terhadap Sunway REIT didorong oleh prospek pengembalian sewa yang positif untuk segmen runcit.

 

"Selain itu, pembukaan semula Hotel Sunway Resort dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan menyokong pertumbuhan pendapatan bahagian hotel," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan bersih teras Sunway REIT bagi FY22 adalah sebanyak RM336.6 juta dan ia melebihi jangkaan konsensus firma itu, masing-masing membentuk 98% dan 106% daripada anggaran tahun penuh dan konsensus.

 

BACA JUGA: Sunway REIT positif terhadap prospek 2023 didorong pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil

 

Firma itu berkata, pendapatan cemerlang FY22 disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian runcit dan hotel.

 

Katanya, pendapatan hartanah bersih (NPI) bahagian runcit meningkat lebih dua kali ganda pada FY22 disebabkan sokongan sewa yang lebih rendah kepada penyewa dan sumbangan daripada sayap baharu Sunway Carnival.

 

"NPI bahagian hotel adalah lebih tinggi (82.8%) disebabkan oleh pembukaan semula Sunway Resort Hotel dan penghunian bilik hotel yang lebih tinggi berikutan pembukaan semula sempadan ekonomi dan negara.

 

"Sementara itu, sumbangan daripada pejabat dan segmen lain kekal stabil," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.73 sesaham. - DagangNews.com