MIDF Research 'potong' unjuran hasil Maxis bagi FY22-FY23 ekoran impak pelaksanaan SWN 5G | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research 'potong' unjuran hasil Maxis bagi FY22-FY23 ekoran impak pelaksanaan SWN 5G

KUALA LUMPUR 29 April - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Maxis Bhd. kepada RM4.05 daripada RM4.25 sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'neutral'. 

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran hasil Maxis Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 5.4% dan 4.5%. 

 

"Ini disebabkan keputusan berhubung rangkaian tunggal borong (SWN) bagi pelancaran 5G negara di bawah Digital Nasional Bhd. (DNB) dijangka menjejaskan pelaksanaan pendekatan kumpulan dan juga prestasi kewangan pada masa depan.

 

"Kami memahami bahawa salah satu fokus utama kumpulan adalah untuk mengembangkan segmen perniagaan perusahaan, tetapi, buat masa ini ia masih di peringkat awal, justeru, kami mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Maxis," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Maxis merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM298 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM334 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ia didorong pertumbuhan kukuh dalam segmen gentian dan perusahaan serta pelaburan yang lebih tinggi dalam perniagaan mudah alih.

 

Pendapatan, bagaimanapun meningkat kepada RM2.41 bilion pada suku pertama berbanding RM2.24 bilion tahun ke tahun, disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi dalam perkhidmatan, perniagaan pengguna serta segmen perusahaan.

 

Menurut MIDF Research, prestasi suku yang lebih lemah itu disebabkan jualan peranti yang lebih rendah selepas jualan sempena Tahun Baharu dan pelancaran telefon pintar teknologi baharu pada suku keempat 2021.

 

"Namun, secara keseluruhan, pendapatan dinormalisasi Maxis adalah memenuhi jangkaan kami dan konsensus, masing-masing menyumbang 22% dan 23% daripada anggaran pendapatan FY22 penuh tahun," katanya.

 

Setakat 10.23 pagi, harga saham Maxis menokok 2 sen atau 0.52% kepada RM3.83 dengan 150,800 saham diniagakan. - DagangNews.com