KUALA LUMPUR 10 Mei - MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan perdagangan runcit pada paras 8.9% untuk 2023.
Memandangkan prospek makroekonomi dan asas domestik yang bertambah baik, firma itu optimis pertumbuhan perdagangan runcit mampu mencecah 8.9% pada tahun ini.
"Kami percaya permintaan akan berterusan, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang bertambah baik, tekanan inflasi yang stabil, dasar ekonomi yang akomodatif dan peningkatan dalam industri pelancongan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan memberitahu bahawa jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 12.8% tahun ke tahun kepada RM407.4 bilion pada suku pertama 2023.
Peningkatan RM46.4 bilion itu disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang berkembang 19.5%, atau RM28.8 bilion, kepada RM176.4 bilion.
Bagi Mac 2023, jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 11.9% tahun ke tahun kepada RM138.5 bilion, disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang menyaksikan peningkatan jualan 17.7% atau RM8.8 bilion kepada RM58.7 bilion.
BACA JUGA: Jualan perdagangan borong, runcit melonjak 12.8% kepada RM407.4 bilion pada Q1 - DOSM
Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) kembali kepada kadar normalnya sebanyak 3%, namun firma itu percaya ia akan memberi kesan minimum ke atas prospek perbelanjaan domestik.
Di samping itu, firma itu juga yakin bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan status quo OPR sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini. - DagangNews.com








