KUALA LUMPUR 8 Mei - MIDF Research menjangkakan FY23 bakal menjadi tahun yang lebih baik untuk sektor pembinaan selepas kerajaan mengumumkan pelbagai bentuk rangsangan menerusi Bajet 2023.
Firma itu berkata, kerajaan menerusi pembentangan bajet itu mengumumkan pelbagai bentuk kerja infrastruktur dan kemudahan awam yang akan diterjemahkan kepada aliran kerja yang lebih kukuh pada tahun ini.
Katanya, aliran baharu mengenai pekerjaan infrastruktur asas dan cadangan projek infrastruktur mega pasti memberikan keterujaan dalam sektor pembinaan yang agak terkesan sejak beberapa tahun lalu, berbanding dengan sektor lain.
"Kami merasakan bahawa kemuncak tahun ini adalah pelancaran MRT3 yang telah tertangguh sejak Disember 2022 kerana semakan semula oleh kerajaan untuk menurunkan kos daripada RM50 bilion kepada RM45 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kini terdapat kepastian mengenai pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang dan ia akan diselesaikan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan perkara itu dengan kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya bersetuju untuk laluan pertama dari Bayan Lepas ke Komtar tetapi pelaksanaannya akan diperincikan kemudian.
Sebelum ini dilaporkan bahawa laluan bertingkat Komtar-Bayan Lepas sepanjang 26.8km dengan 23 stesen akan menelan kos RM9.5 bilion dan ini akan dibiayai oleh hasil daripada projek penambakan Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI), yang baru sahaja menerima Penilaian Kesan Alam Sekitar ( kelulusan EIA) bulan lepas.
"Kini setelah Kerajaan Persekutuan akan membiayai LRT Pulau Pinang, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan projek PSI atau menangguhkannya," katanya.
Antara pilihan utama firma itu dalam sektor berkenaan adalah Gamuda (beli, TP: RM5.04), Sunway Construction (beli, TP: RM2.00) dan IJM Corp (beli, TP: RM1.90) kerana memiliki kunci kira-kira yang kukuh.
Firma itu juga kekal positif terhadap sektor itu. - DagangNews.com








