MIDF Research berhati-hati konflik global meski kekalkan unjuran positif eksport Malaysia 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research berhati-hati konflik global meski kekalkan unjuran positif eksport Malaysia 2024

Eksport petroleum kekal antara produk perdagangan utama Malaysia. -Gambar Dialog Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Jun - Walaupun mengunjurkan jumlah dagangan luar Malaysia termasuk eksport bakal bertambah baik tahun ini, namun MIDF Research tetap berhati-hati dengan konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, konflik berterusan dan ketegangan perdagangan yang baharu  boleh mempengaruhi aktiviti perdagangan dalam tempoh terdekat.

 

"Di samping itu, permintaan akhir terutamanya daripada ekonomi utama mungkin lemah, dikekang oleh tinggi kos pinjaman dan kebimbangan terhadap kekuatan pertumbuhan di China," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran eksport barang Malaysia dan import akan mencatatkan pertumbuhan masing-masing sebanyak +5.2% (2023: -8.0%) dan +4.4% (2023: -6.4%). 

 

"Kami terus mengharapkan perdagangan E&E (elektrik dan elektronik) yang berkembang dan permintaan luar yang pulih akan menyokong pemulihan eksport pada tahun ini. 

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan aktiviti pelaburan dan penyimpanan semula inventori dengan menjangkakan peningkatan permintaan untuk menyokong import pulih daripada penurunan yang dilihat tahun lepas," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dagangan Malaysia naik 10.3% kepada RM246.3 bilion pada Mei 2024, eksport meningkat 7.3% - DOSM

 

 

dosm

 

Katanya, dari segi produk utama, pemulihan berterusan dalam eksport E&E dan kelapa sawit menyumbang lebih daripada dua pertiga pertumbuhan eksport pada Mei 2024. 

 

Jelas MIDF esearch, permintaan dari pasaran utama terus meningkat, terutamanya dari ASEAN, Amerika Syarikat, dan peningkatan berterusan dalam eksport ke China. 

 

"Import juga meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan walaupun perlahan kepada +13.8% tahun ke tahun (Apr-24: +15.6% tahun ke tahun), disumbang oleh pembelian yang lebih tinggi bagi E&E, jentera, peralatan & bahagian, dan petroleum mentah. 

 

"Pemulihan pertumbuhan perdagangan luar Malaysia secara umumnya selari dengan pertumbuhan perdagangan serantau. 

 

"Dengan melihat angka perdagangan yang menggalakkan ini, kami terus mengharapkan pemulihan dalam permintaan luar akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih cepat pada tahun ini," ujarnya.- DagangNews.com