Dagangan Malaysia naik 10.3% kepada RM246.3 bilion pada Mei 2024, eksport meningkat 7.3% - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan Malaysia naik 10.3% kepada RM246.3 bilion pada Mei 2024, eksport meningkat 7.3% - DOSM

Eksport Malaysia meningkat 7.3% pada Mei 2024. Gambar hiasan IJM
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Jun - Jumlah dagangan Malaysia pada Mei 2024 menunjukkan peningkatan 10.3% daripada RM223.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM246.3 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut DOSM, import meningkat 13.8% yang mencecah RM118.1 bilion manakala eksport naik 7.3%, berjumlah RM128.2 bilion pada Mei 2024.
 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia meningkat pada Mei 2024 seiring dengan peningkatan 13.2% eksport domestik yang bernilai RM106.0 bilion.

 

 

Eksport domestik menyumbang 82.7% kepada jumlah eksport.

 

Sebaliknya, kata beliau, eksport semula bernilai RM22.2 bilion, menyumbang 17.3% kepada jumlah eksport turun 14.1% berbanding Mei 2023.

 

Sementara itu, katanya, import pula bernilai RM118.1 bilion, meningkat 13.8%. 

 

dosm

 

"Lebihan dagangan menurun 35.4% kepada RM10.1 bilion, lebihan bulan ke-49 berturut-turut sejak Mei 2020. 

 

"Berbanding April 2024, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan kenaikan 11.8 %, 10.4%, 11.1% dan 30.9%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Melihat dari sudut kumpulan barangan, Dr Mohd Uzir berkata, 162 daripada 259 kumpulan eksport dan 169 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia turut menekankan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Singapura (+RM2.7 bilion), diikuti Amerika Syarikat (+RM2.4 bilion), Taiwan (+RM1.9 bilion), India (+RM1.1 bilion), Filipina (+RM789.6 juta), Vietnam (+RM719.6 juta), Kesatuan Eropah (+RM660.3 juta), Türkiye (+RM644.6 juta) dan Kanada (+RM450.2 juta). 

 

"Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China (+RM4.6 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM3.9 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.1 bilion), Singapura (+RM882.9 juta), Brazil (+RM556.3 juta), Rusia (+RM448.2 juta) dan Republik Korea (+RM349.8 juta)," jelasnya.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan barangan elektrik & elektronik (+RM3.5 bilion); perkilangan lain (+RM1.5 bilion); minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM1.4 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.3 bilion); barangan optik & saintifik (+RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (+RM659.4 juta); dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM585.2 juta). 

 

Sementara itu, katanya, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM7.5 bilion); barangan perkilangan logam (+RM747.1 juta); pertanian lain (+RM601.8 juta); makanan diproses (+RM571.0 juta); dan tekstil, pakaian & kasut (+RM324.6 juta).

 

Selanjutnya, Ketua Perangkawan Malaysia juga memaklumkan pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan. 

 

"Import barangan modal bernilai RM13.9 bilion, meningkat 40.5 peratus berbanding Mei 2023, mewakili 11.8% daripada jumlah import. Barang perantaraan (57.7% daripada jumlah import), bernilai RM68.1 bilion, mencatatkan peningkatan 24.1% atau RM13.2 bilion.

 

"Barang penggunaan (8.6% daripada jumlah import), meningkat 14.7% daripada RM8.9 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM10.2 bilion.”

"Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 mencatatkan peningkatan sehingga mencecah RM1 trilion. Jumlah dagangan meningkat 8.7% daripada RM1.1 trilion kepada RM1.2 trilion, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+4.5%) serta import (+13.7%). 

"Sebaliknya, lebihan dagangan berkurangan 43.9% mencatatkan nilai RM52.0 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023," ujarnya. - DagangNews.com