microLEAP sambut baik seruan SC memanfaatkan prinsip etika Maqasid al-Shariah bentuk masa depan fintech Islamik | DagangNews Skip to main content

microLEAP sambut baik seruan SC memanfaatkan prinsip etika Maqasid al-Shariah bentuk masa depan fintech Islamik

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - microLEAP, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P), menyambut baik seruan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi terhadap manfaat prinsip etika Maqasid al-Shariah dalam membentuk masa depan fintech Islamik.

 

Menurut microLEAP, misinya sejajar dengan nilai-nilai mempromosikan pembiayaan yang beretika dan inklusif sambil kekal komited kepada pertumbuhan ekosistem fintech Islamik. 

 

microLEAP berkata, ia telah membuka pejabat fizikal di Sabah, Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang sebagai komitmennya dalam memperluaskan capaian pembiayaan Islamik di luar Lembah Klang.

 

"Kami juga telah mengagihkan RM46.56 juta merentasi 78 nota sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini dan lebih RM175 juta sejak penubuhan syarikat.

 

"Pertumbuhan ketara ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan Islamik, selaras dengan dapatan SC tentang platform  pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan P2P Islamik kini menyumbang 24% daripada jumlah pembiayaan alternatif, berbanding hanya 8% pada tahun 2022," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

 

Di samping itu, microLEAP meneruskan kerjasama dan hubungan yang berterusan dengan badan-badan kerajaan utama, seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp, dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), bagi memajukan kewangan Islamik. 


 
Mengulas tentang kenyataan Mohammad Faiz tentang kawal selia yang seimbang, microLEAP berkata, ia mencerminkan keseimbangan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh pengurangan kadar kemungkiran kepada 0.77%. 

 

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan risiko sambil memberikan pulangan yang kukuh kepada pelabur dengan purata pulangan sebanyak 15.1% pada separuh pertama tahun 2024. 

 

"Kami juga komited untuk meluaskan perkhidmatan bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada potensi fintech Islamik," ulas microLEAP.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, dengan kerjasama agensi kerajaan dan kehadiran microLEAP di beberapa negeri, syarikat telah mengambil langkah startegik untuk memperluaskan akses pembiayaan Islamik kepada orang ramai. 

 

Sementara itu, microLEAP bersedia untuk bekerjasama dengan SC dan pihak berkepentingan lain bagi membina ekosistem kewangan yang kukuh, inklusif dan didorong oleh etika.- DagangNews.com