KUALA LUMPUR 12 Ogos - Mesyuarat High Level Committee (HLC) MALINDO ke-17 antara Malaysia dan Indonesia telah diadakan bagi membincangkan aspek kerjasama keselamatan dua negara.
Sidang HLC MALINDO ini diadakan setiap tahun dan dihoskan secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Indonesia.
Mesyuarat ini juga merupakan platform pengukuhan hubungan diplomasi ketenteraan dan pertahanan serta semangat persahabatan antara angkatan tentera kedua negara.
Sesi mesyuarat dipengerusikan secara bersama antara panglima Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan rakan sejawat, Laksamana Yudo Margono,selaku Pengerusi HLC Malaysia dan Indonesia.

Antara yang dibincangkan ialah perkara berkaitan operasi dan perisikan, latihan dan pendidikan, kerjasama kepolisan dan sosial-ekonomi.
Perkara-perkara ini telah dibentangkan secara terperinci oleh semua badan-badan di bawah HLC MALINDO.
Secara keseluruhannya, pengerusi bersama kedua-dua negara amat berpuas hati dengan laporan yang telah dibentangkan.
Kedua-duanya berharapkan agar segala keputusan yang telah dimuktamadkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baikinya demi manfaat kedua-dua negara.
Pada masa sama, kedua-dua Pengerusi Bersama juga senada dalam memberikan penekanan agar sinergi hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkasa dan ditingkatkan pada tahap yang lebih tinggi.


Mereka juga berharap agar kerjasama yang holistik dan komprehensif ini mampu memberikan impak yang positif bukan sahaja untuk kedua-dua negara, malah di seluruh kawasan serantau.
Ini bagi menyediakan kedua-dua negara dalam menghadapi ancaman situasi keselamatan yang semakin dinamik, mencabar dan tidak menentu.
Kedua-dua pihak menyeru agar badan-badan di bawah HLC MALINDO dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan dengan lebih baik demi memperoleh hasil yang efektif.
Adalah menjadi keutamaan agar keselamatan serta keamanan sempadan Malaysia dan Indonesia terus dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








