Mesiniaga raih kontrak RM59.63 juta daripada TM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mesiniaga raih kontrak RM59.63 juta daripada TM

KUALA LUMPUR 10 Mei - Mesiniaga Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM59.63 juta daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM) bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan pusat data. 

 

Kontrak itu membabitkan kerja-kerja bagi mereka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan, penyepaduan, latihan, perkhidmatan profesional dan penyelenggaraan serta sokongan pusat data teras awan syarikat telekomunikasi. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Mesiniaga berkata, kontrak tersebut adalah bagi tempoh 1 April 2022 hingga 16 November 2024. 

 

"Tiada klausa pembaharuan automatik dalam kontrak ini. Dari segi risiko pula, ia terutamanya berkait dengan memenuhi komitmen tahap perkhidmatan dan tarikh akhir yang dikenakan oleh pelanggan.

 

"Dalam hal ini, syarikat telah mengambil langkah yang perlu bagi mengatasi risiko berkenaan," katanya. 

 

Firma penyelesaian ICT itu menjangkakan kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, seterusnya sehingga kontrak berakhir.

 

Sehingga 2.07 petang ini, saham Mesiniaga kekal tidak diniagakan. Kali terakhir ia didagangkan ialah 6 Mei 2022, pada RM1.50 sesaham. - DagangNews.com