LTAT satu-satunya GLIC tanpa pelaburan luar negara: Masa untuk tukar, contohi KWSP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LTAT satu-satunya GLIC tanpa pelaburan luar negara: Masa untuk tukar, contohi KWSP

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

TAHUKAH anda, dalam semua GLIC, LTAT satu-satunya yang tiada pelaburan luar negara? Bukan sebab mereka malas atau tak pandai berbahasa Inggeris, tapi sebab keputusan orang dulu-dulu tetapkan semua pelaburan LTAT hanya fokus dalam negara sahaja.

 

Kini semuanya perlu diubah. LTAT kena lebih agresif, fokus kepada ekuiti global, kurangkan bergantung pada pegangan strategik domestik, hartanah dan ekuiti persendirian.

 

Dalam sesi perbincangan tertutup bersama editor pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi memberitahu, tabung persaraan tentera itu sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia dan berharap lampu hijau datang sedikit masa lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

LTAT sudah ada sokongan undang-undang. Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 2022 benarkan LTAT jadikan peruntukan aset strategik sebagai prinsip utama dalam pelaburan – bermakna pintu dah terbuka untuk pasaran luar negara.

 

Sebelum ini, pendedahan antarabangsa memang minimum. Konservatif habis. Tapi sekarang, mereka nak portfolionya lebih global, pulangan lebih mantap, risiko tak tertumpu satu pasaran sahaja.


 

LTAT
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi

 

Jadikan KWSP contoh baik

Walaupun pengalaman saya paling dekat dengan tentera setakat sertai KESATRIA selama sepenggal, tetapi apa sahaja sumber yang boleh meneguhkan dividen LTAT tentunya saya akan sokong. Serupalah seperti KWSP.

 

Pelaburan luar negara KWSP sangat mahsyur, malah dialu-alukan oleh broker pelaburan global. Laporan prestasi pelaburan KWSP pada 2025 baru-baru ini cukup memberangsangkan.

 

  • Pendapatan besar: Dalam tiga suku pertama 2025, pelaburan antarabangsa sumbang lebih 50% pendapatan pelaburan, walaupun cuma 39% daripada aset total.

  • Suku ketiga 2025: Hanya Q3, pelaburan antarabangsa jana RM13.33 bilion daripada RM25.07 bilion.

  • Peruntukan aset: Setakat 30 September 2025, antarabangsa buat 39% daripada RM1.37 trilion KWSP, ekuiti global pacu pulangan paling banyak.

  • Strategi berkesan: Diversifikasi global buat KWSP dapat manfaat daripada pasaran pulih, sokong dividen tinggi – potensi 6% atau lebih.

  • Prestasi Q2: Aset global jana 63% daripada pendapatan pelaburan dalam tempoh itu.

 

Fakta ini jelas: pelaburan luar negara bukan sahaja selamat tapi penting untuk pulangan jangka panjang. Ini yang LTAT nak ikut, supaya tak bergantung satu pasaran saja.

 

ARTIKEL MERREPAK: Dividen KWSP 6.15%: Jika pelaburan luar lebih untung, mengapa tidak dilabur lebih banyak?

 

 

 

 

 

 

 

Strategi Gempur30

LTAT juga nak tingkatkan peruntukan kepada aset lebih cair, supaya aliran pendapatan stabil dan fleksibiliti tinggi.

 

Mereka sasarkan peruntukan 20% kepada ekuiti awam dan 20% kepada instrumen pendapatan tetap menjelang 2030, naik daripada 10.2% dan 11.8% setakat akhir 2025.

 

“Asas kami adalah pasaran awam. Kita kena kembangkan ekuiti tersenarai dan pendapatan tetap yang boleh didagangkan supaya ada income berulang dan kecairan mencukupi,” kata Ashraf.

 

Ini sebahagian daripada Gempur30, pelan lima tahun LTAT untuk seimbangkan semula portfolio dan pastikan dana tahan lama.

 

Sekarang, 58.5% portfolio LTAT adalah aset strategik, sumbang 19% daripada semua pendapatan kelas aset. Target 2030? Kurangkan kepada sekitar 35%.

 

Tahun lepas, LTAT jana RM749.49 juta pendapatan pelaburan. Aset nyata paling besar sumbang RM286.5 juta, diikuti aset strategik RM140.2 juta dan ekuiti awam RM139.9 juta.

 

Pelan transformasi LTAT termasuk pelupusan terpilih dan pelaburan semula, untuk salurkan modal ke sektor pertumbuhan jangka panjang. Beberapa transaksi strategic holdings akan dibuat secara tersusun – tapi detail masih finalisasi.

 

Jumlah aset di bawah pengurusan sekarang RM13.36 bilion, turun 2% tahun ke tahun sebab pengeluaran bersih dan tiada dividen dari Affin Bank Bhd. LTAT pemegang saham ketiga terbesar, 22% atau 535.35 juta saham.

 

Selain itu, LTAT ada 43.9% dalam Pharmaniaga Bhd, yang menunjukkan tanda pemulihan memberangsangkan, dijangka keluar daripada status PN17 tak lama lagi setelah menderita terlebih vaksin COVID-19.

 

Dividen FY2025? 5.35%, tertinggi dalam lapan tahun, dengan jumlah agihan RM524.74 juta. Rizab naik ke RM1.3 bilion daripada RM1 bilion 2024. Bayangkan kalau ada pula hasil dari pelaburan oversea...


 

solar

 

Tengah Upgrade Level

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kata, Gempur30 akan letakkan LTAT pada kedudukan lebih kukuh untuk urus simpanan pencen anggota tentera.

 

“Pelan strategik dah diluluskan, LTAT berada di landasan tepat untuk terus urus simpanan anggota tentera dan beri pulangan mampan,” katanya.

 

Jadi, jangan pandang rendah LTAT. Dari satu-satunya GLIC tanpa pelaburan luar negara, kini mereka harus dibenarkan jadi pemain besar – global, cair, income mantap.

 

Kalau berjaya, anggota tentera bukan sahaja dapat simpanan selamat, malah pulangan lebih tinggi, portfolio tahan lasak, risiko tak tertumpu satu pasaran saja.

 

Bak kata orang era tular sekarang: `LTAT tengah upgrade level' – dan ini baru permulaan. Kalau KWSP boleh buat duit gempak dari luar negara, kenapa LTAT tak boleh ikut sama? Masa depan pencen tentera, insya-Allah, lebih solid dan power- DagangNews.com

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 33 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Dimanakah Dikau oleh KEMBARA berulang-ulang kali.