Perdebatan hangat pasal dividen KWSP 2025 muncul selepas bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bangkitkan isu “ekonomi dua lapis”. Kata beliau, walaupun ekonomi Malaysia nampak okay, tapi rakyat biasa — termasuk pencarum KWSP — tak rasa langsung manfaatnya.
Senang cerita, Lim kata pulangan KWSP yang lebih rendah ni macam cerminan kegagalan sistem ekonomi. Berat, tapi menarik.
Tentulah Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan tidak setuju. Beliau jawab di LinkedIn, pengkritik katanya “terlepas pandang sepenuhnya inti sebenar isu”.
"Dividen ni kena tengok prestasi pasaran dan keadaan pelaburan sebenar, bukannya nak buat drama politik semata-mata".
Realiti Prestasi Pasaran
Pulangan pelaburan 2025 memang tak sehebat 2024. FTSE Bursa Malaysia KLCI naik cuma 2.3% je, berbanding 12.9% tahun sebelumnya.
FBM KLCI ni penanda aras pasaran tempatan. Dengan permodalan RM1.2 trilion, ia mewakili lebih separuh Bursa Malaysia.
Jadi tak pelik kalau dividen 6.15% dianggap realistik, bukan kegagalan. KWSP berjaya kekalkan pulangan lebih 6% walaupun pasaran saham tak semeriah tahun lepas.
Namun memberi pujian tak bermakna kita tak boleh soal strategi KWSP sama sekali. Kalau tak mahu orang soal, janganlah letak macam-macam syarat sulit kita nak keluarkan duit caruman.
Jumlah Agihan Bukan Segalanya?
Amir Hamzah betul — jumlah agihan memang penting. RM79.6 bilion dibahagikan pada 2025, mencerminkan dana besar dan baki simpanan ahli yang bertambah.
Tapi hakikatnya ahli bersara ikut kadar yang dikreditkan ke akaun, bukan jumlah total agihan.
Dana besar tak semestinya bermakna pulangan terbaik sampai ke poket ahli.
Persoalan Besar: Strategi Pelaburan KWSP
2025 tunjuk trend menarik. 61.7% aset dilabur di dalam negara, 38.3% di luar negara.
Pendapatan? Pelaburan domestik jana RM39.3 bilion, hampir sama dengan RM39.9 bilion pelaburan luar negara — walaupun modal luar negara lebih kecil.
Pulangan kasar? 4% domestik, 7% luar negara.
Maknanya? Pelaburan luar negara lebih untung. Dan bukan kali pertama. Soalannya: kalau luar negara secara konsisten lebih menguntungkan, kenapa masih berat sebelah kepada pasaran tempatan?
Pulangan Global Lebih Kukuh
Ya, ada sebab. KWSP kena urus liabiliti dalam ringgit.
Pergerakan mata wang boleh kurangkan keuntungan luar negara bila ditukar balik. Pasaran tempatan juga senang difahami dan penting untuk pembentukan modal negara.
Betul semua tu. Tapi KWSP adalah dana persaraan, bukan penyokong automatik pasaran tempatan bila pelabur asing keluar.
Kalau peluang pelaburan luar negara lebih baik, kenapa tak naikkan pendedahan global? Keutamaan sepatutnya hasil kepada ahli, bukan nak cantik mata pasaran.
Contoh jelas: S&P 500 naik 16% pada 2025, jauh lebih tinggi daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI yang cuma naik 2%.
Persoalan paling sahih: kalau KWSP labur lebih banyak di pasaran global macam Amerika Syarikat, adakah dividen 2025 mungkin lebih tinggi?
Pentingkah statistik?
Akhirnya, inilah dilema KWSP. Nak selamat, labur dalam negara — pulangan sederhana tapi stabil. Nak untung lebih, kena berani keluar negara — risiko lebih tinggi tapi potensi pulangan pun tinggi.
Jadi, pencarum patut tanya sendiri: adakah mereka nak dividen selamat tapi sederhana, atau bersedia untuk peluang global yang lebih menguntungkan?
KWSP boleh buat apa sahaja strategi, tapi yang penting — hasil sampai ke tangan pencarum.
Kadang-kadang, jawapan paling senang bukan pada statistik, tapi pada soalan yang kita berani tanya. Kena beranilah. - DagangNews.com
Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 33 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Siapa Orang Kita oleh Kembara berulang-ulang kali.








