Mercury Securities nilai harga sasaran AGX Group sebanyak 57 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran AGX Group sebanyak 57 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 57 sen terhadap AGX Group Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Februari ini.

 

Sasaran itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 8.2 sen dan harga perusahaan sembilan kali sejajar dengan purata pemain industri lain.

 

Menurut firma penyelidikan itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 62% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham ini kerana ia menawarkan prospek pertumbuhan yang menarik dan disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pengangkutan dan penyimpanan di Malaysia, yang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR)sebanyak 15.2%," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

AGX Group beroperasi sebagai penyedia logistik pihak ketiga (3PL), menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran pengangkutan laut dan udara, logistik aeroangkasa, pergudangan, perkhidmatan 3PL lain dan pengangkutan kargo jalan raya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AGX Group sasar RM33.78 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Syarikat itu beroperasi secara fizikal di Malaysia, Filipina, Korea, Myanmar, Singapura dan Kemboja (menerusi syarikat bersekutu), menyediakan penghantaran barangan dari tempat asal ke destinasi akhir mereka.

 

Mercury Securities berkata, perkhidmatan logistik aeroangkasa AGX, tawaran unik sejak 2005, membezakannya dalam landskap logistik.

 

Katanya, pengkhususan dalam sektor itu berjaya memupuk kesetiaan pelanggan, dengan logistik aeroangkasa menjadi penyumbang hasil tertinggi sebanyak 37.06% dalam tempoh kewangan berakhir (FPE) 2023.

 

"Walaupun penurunan sementara pada FY21 disebabkan oleh sekatan COVID-19, FY22 dan FPE 2023 menunjukkan mencatatkan peningkatan permintaan bagi mengangkut komponen pesawat apabila perjalanan udara kembali meningkat,” katanya.

 

Terdahulu, ketika pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu menyasar untuk mengumpul RM33.78 juta daripada IPO dan akan menggunakan RM16.44 juta daripada hasil untuk menambah keperluan modal kerja manakala RM8.7 juta akan dimanfaatkan bagi pengembangan perniagaan di Malaysia dan Korea Selatan.

 

Bakinya berjumlah RM4.14 juta dan RM4.5 juta masing-masing akan digunakan bagi pembayaran hutang pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com