Mercury Securities mulakan liputan terhadap Cnergenz dengan saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities mulakan liputan terhadap Cnergenz dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Julai - Mercury Securities Sdn. Bhd. memulakan liputan terhadap Cnergenz Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 66 sen sesaham. 

 

Ia berdasarkan kepada anggaran pendapatan sesaham pada 3.8 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan purata harga pendapatan pemain industri sebanyak 17.3 kali.

 

"Harga sasaran mewakili potensi pulangan sebanyak 40% daripada harga semasa," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut firma itu, ia menyukai saham Cnergenz kerana kumpulan memiliki pelan pengembangan yang menarik dan penilaian murah. 

 

Katanya, ini membolehkannya berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan industri penyelesaian pembuatan teknologi pelekap permukaan yang semakin berkembang di Asia Tenggara, seperti diramalkan Providence, akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 8% dari 2022 hingga 2024.

 

"Ketika ini, Cnergenz beroperasi di kemudahannya yang berkeluasan 22,800 kaki persegi di Bukit Tengah, Pulau Pinang dan merancang untuk meningkatkan operasinya dengan pembinaan kilang baharu 3 tingkat berkeluasan 130,000 kaki persegi. 

 

"Dengan keluasan hampir 6 kali ganda daripada kemudahan sedia ada, ia dijangka siap pada suku keempat 2023. Sebanyak RM37.8 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang tersebut, yang dibiayai menerusi hasil tawaran awam permulaan (IPO)," jelasnya.

 

Cnergenz, penyedia penyelesaian pembuatan elektronik memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 Mei lalu.

 

IPO Cnergenz membabitkan terbitan awam 100 juta dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta terbitan saham dengan cara penempatan persendirian pada harga tawaran 58 sen sesaham.

 

Ia menjana RM58 juta daripada IPO itu, yang akan digunakan ke arah rancangan pengembangan kemudahan syarikat, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta modal.

 

Kumpulan menguasai bahagian pasaran sebanyak 17.4% pada 2021 membabitkan 3 pasaran utama dan memberi perkhidmatan kepada lebih 130 pelanggan di seluruh dunia.

 

Mercury berkata, Cnergenz memiliki nilai kontrak berjumlah RM147 juta setakat 31 Mei 2022, yang dijangka akan diiktiraf sepenuhnya pada separuh kedua 2022.

 

"Di bawah kepimpinan ketua pegawai eksekutifnya, Lye Yhin Choy, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan keseluruhan dan operasi perniagaan Cnergenz, syarikat itu mampu mencapai CAGR hasil tiga tahun sebanyak 9% dari FY18 hingga FY21 (tidak termasuk pelanggan K&H untuk FY18 dan FY19), di sebalik cabaran pandemik COVID-19 pada FY20,” katanya.

 

Setakat 11.24 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 1.05% kepada 48 sen dengan 410,300 saham diniagakan. - DagangNews.com