KUALA LUMPUR 13 Jun - Mercury Securities memulakan liputan terhadap T7 Global Berhad dengan saranan 'beli', pada harga sasaran (TP) 61 sen sesaham.
Firma itu berkata, saranan itu adalah berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 5.1 sen dan harga perusahaan 12 kali sejajar dengan purata pemain industri lain.
Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 48.8% daripada harga tawaran semasa.
Katanya, Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kumpulan itu.
"Kira-kira tiga tahun lalu, syarikat itu memperoleh kontrak pemajakan MOPU daripada Petronas Carigali untuk Pembangunan Semula Bayan Gas Fasa 2.
"Projek MOPU Bayan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil pada separuh kedua tahun ini dan akan memberikan keterlihatan pendapatan untuk 10 tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, syarikat itu berhasrat untuk mencapai kadar penggunaan optimum untuk kemudahan MST yang kini digunakan kira-kira 15% hingga 20% dan mempromosikan sistem pertahanan berteknologi tinggi di Malaysia dan rantau ASEAN.
Katanya, syarikat itu juga merancang untuk meneruskan projek infrastruktur dan bangunan bernilai tinggi di Malaysia dan menggabungkan penyelesaian digital dan automatik ke dalam projek masa depan.
"Syarikat itu kini terlibat dalam reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan Sistem Pengendalian Bagasi tercanggih untuk Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL yang dijangka memberikan keterlihatan pendapatan untuk tiga tahun akan datang.
Bagaimanapun, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk kekurangan tenaga kerja mahir dan kemasukan kontrak kerja baharu yang perlahan. - DagangNews.com








