KUALA LUMPUR 9 Mac - Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) menyasarkan 1,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia dan mencipta impak ekonomi bernilai RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang melalui perolehan eksport.
Meraque dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sasaran itu seterusnya akan mengukuhkan komitmen mereka menyokong cita-cita negara untuk menjadi pemain utama dalam industri dron global serta menjadi hab dron ASEAN.
Meraque telah memulakan inisiatif pemangkin melalui program latihan dan kemahiran dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan serta negeri dalam usaha membentuk dan melengkapkan 500 belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk memasuki pasaran pekerjaan industri dron di dalam dan luar negara menjelang 2023.
Syarikat teknologi dron Malaysia itu baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Al Nabooda Chulia, sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan fasiliti berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
MoU tersebut bertujuan menjalin kerjasama dan penglibatan aktif kedua-dua syarikat untuk mengembangkan perkhidmatan dan penyelesaian Meraque ke pasaran Timur Tengah dan Afrika.
Sebagai sebahagian daripada MoU, kerjasama rakan kongsi baharu itu akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman masing-masing untuk berusaha meletakkan asas yang kukuh penerimagunaan penyelesaian kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) terkemuka industri di seluruh rantau tersebut.
Pertukaran dokumen MoU dilakukan antara Ketua Pegawai Strategi Meraque, Rahman Hussin dan Pengurus Besar Al Nabooda Chulia, Nazmi Amri dalam satu majlis yang diadakan di Pavilion Malaysia, Dubai Expo pada 28 Februari lepas di Dubai.
Majlis turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian, Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

Dalam pada itu, Rahman berkata, dron dan teknologi berkaitannya mempunyai banyak potensi menarik untuk digunakan dalam pelbagai industri dan ia terbukti mampu menjadi faktor pengubah dalam transformasi industri.
"Kerjasama dengan Al Nabooda Chulia adalah langkah ke hadapan yang penting buat kami dalam memulakan rancangan pengembangan syarikat. Pengetahuan komprehensif Al Nabooda Chulia dan pemahaman yang luas mereka mengenai bidang pengurusan kemudahan dan landskap teknologi dron di Timur Tengah dan Afrika, pasti akan memberi kelebihan," katanya.
Khairil Anwar pula berkata, potensi yang ditawarkan oleh teknologi dron hari ini sangat menarik.
"Pasaran global untuk teknologi dron telah menyaksikan pertumbuhan yang menakjubkan dan kami gembira melihat terdapat syarikat pemula Malaysia sedang memanfaatkan 'lombong emas' ini.
"MoU ini adalah pengesahan bahawa syarikat pemula Malaysia bersedia untuk berkembang ke pasaran global jika diberi peluang mengakses pasaran tersebut," katanya.
Untuk rekod, Meraque juga dinamakan sebagai penyedia perkhidmatan teknologi dron ke-19 terbaik di dunia tahun lepas oleh Drone Industry Insights, perunding penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Jerman.
Industri dron telah berjaya menarik minat ramai dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026 menurut Drone Market Report 2021-2026. - DagangNews.com








