Meraque perkenal kenderaan autonomi pertama di Malaysia bagi kurangkan kebergantungan tenaga buruh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meraque perkenal kenderaan autonomi pertama di Malaysia bagi kurangkan kebergantungan tenaga buruh

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Meraque Group, sebuah syarikat rumusan robotik Malaysia memperkenalkan Kenderaan Autonomi (AGV) pertama negara yang direka untuk persekitaran yang kompleks, dinamakan 'Robotic Agro in Complex Environment' (RACE).

 

Meraque mencipta RACE untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan penyemburan baja di pelbagai kawasan tanaman dan ladang pertanian, bukan hanya untuk kegunaan di ladang kelapa sawit. 

 

RACE yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Pameran Teknologi Pertanian Antarabangsa Malaysia di Pusat Konvensyen Setia Alam, menandakan satu langkah dinamik ke arah merevolusikan sektor pertanian Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, komitmen syarikat terhadap inovasi dan kemampanan mendorong mereka membangunkan RACE, bukan sahaja mengubah industri tetapi juga memajukan kehebatan pertanian Malaysia di persada global.

 

"Ketika kami berdiri di atas jurang era baharu dalam bidang pertanian, pelancaran RACE menandakan detik penting dalam perjalanan kami di Meraque. Dengan RACE, kami telah berkembang daripada sebuah syarikat dron kepada peneraju dalam automasi robotik, dan ini hanyalah permulaan. 

 

"Kami mahu memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi robotik dalam perkhidmatan, pertanian dan pembuatan, serta mencapai pengiktirafan sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Md Razalee, teknologi tersebut telah menjalani ujian kegunaan sebenar yang ketat di ladang sehingga membuatkan pelanggan sangat berpuas hati dengan keupayaannya. 

 

 

meraque

 

 

"Kami membayangkan pada masa depan di mana teknologi memperkasakan industri pertanian dan meningkatkan keterjaminan makanan. Kami teruja dengan peluang di hadapan dan kekal berdedikasi untuk menjadikan sektor pertanian lebih bijak, cekap dan mampan untuk semua orang," katanya.

 

Selepas pelancaran, RACE akan menjalani proses pengkomersialan. Memandangkan Meraque terus melonjakkan sempadan sektor pertanian melalui automasi dan teknologi termaju, RACE menjadi bukti dedikasi syarikat untuk memacu sektor itu ke arah masa depan yang mampan dan maju dari segi teknologi.

 

Sebagai AGV autonomi atau beroperasi sendiri, RACE direka untuk persekitaran pertanian dengan bentuk muka bumi yang rumit dan mencabar. Ia mempunyai set ciri-ciri mengagumkan yang mampu mentakrifkan semula istilah ketepatan dan kecekapan dalam industri.

 

 

meraque

 

 

Antara ciri-cirinya termasuk kawalan mobiliti berkuasa teknologi kecerdasan buatan (AI), penghantaran data masa nyata (LoRa), pengesanan cahaya dan navigasi (LiDAR), tangki cecair pintar 500 liter yang luas, semburan maksimum 12 meter lebar dan keupayaan teguh mendaki lereng muka bumi bersudut 30 darjah. 

 

Meraque telah memperoleh paten dan penjenamaan menggabungkan teknologi LoRA ‘real-time kinematic’ (RTK) , teknologi swarm dan semburan pintar dalam sistem RACE. - DagangNews.com