Mendefinisikan etika, syariah di dalam pelaburan matawang kripto | DagangNews Skip to main content

Mendefinisikan etika, syariah di dalam pelaburan matawang kripto

Ramai sarjana Islam mempunyai pendapat yang berbeza tentang mata wang kripto. - Gambar Kanchanara
Oleh Dr. Muhammad Hafiz Ali

MATAWANG kripto ialah matawang digital berasaskan teknologi blockchain. Teknologi blockchain ialah lejar transaksi atas talian yang telah dijanakan oleh pengguna.

 

Teknologi blockchain ditadbir oleh rangkaian terdesentralisasi yang mendakwa telah menjadikan pemindahan dana atau wang lebih mudah dan selamat untuk pengguna.

 

Pemindahan dana ini dijamin oleh kriptografi yang terlindung daripada manipulasi atau pemalsuan mana-mana pihak.

 

Bagi memastikan keterjaminan nilai matawang kripto, ia direka dalam kuantiti yang terhad. Ini menyebabkan perdagangan nilai matawang kripto boleh turun dan naik dalam julat yang besar.

 

Matawang kripto yang pertama diwujudkan pada tahun 2009, sejak itu terdapat banyak mata wang kripto telah mengalami beberapa lonjakan pesat dan kejatuhan nilai mendadak.

 

Contohnya, Bitcoin merekodkan nilai tertingginya pada AS$68,789 setiap satu, pada November 2021 semasa pandemik COVID-19. Tetapi nilai ini turun dengan ketara sekitar AS$16,000 dalam tempoh beberapa bulan berikutnya sekitar pertengahan 2022.


 

parafrasa

 


Dalam sebuah kajian tahun 2020 oleh Shakirullah Hamza yang diterbitkan oleh Saudi Journal of Economics and Finance mendapati bahawa nilai matawang kripto mudah dipengaruhi oleh maklumat daripada pempengaruh media sosial.

 

Ini telah disaksikan pada Mei 2021, di mana pasaran kripto huru-hara berikutan kongsian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla; Elon Musk di Twitter (kini; X).

 

Kongsian mim yang mencadangkan putus hubungan cinta dengan Bitcoin itu, menyebabkan nilai pasaran kripto menjunam teruk. Nilai Bitcoin turun lebih daripada 50%, Ethereum jatuh lebih daripada 40%, manakala Dogecoin kehilangan nilai sebanyak 45%. Membuktikan nilai pasaran kripto mempunyai kerentanan dan ketidaktentuan yang tinggi.

 

Apa yang dibimbangkan ialah nilai matawang kripto yang mudah dimanipulasi. Ketidaktentuan nilai ini adalah kerana matawang kripto tidak disokong oleh sebarang aset fizikal.

 

Jika sesuatu aset yang dianggap berharga boleh kehilangan nilainya dengan hanya satu kongsian mim di media sosial, ini menekankan sifat spekulatif yang tinggi oleh mata wang kripto.

 

Lanjutan itu, seseorang pempengaruh yang memiliki jumlah pengikut atas talian besar seperti Musk, mempunyai kuasa untuk mengganggu-gugat nilai pasaran kripto secara perseorangan.

 

Ini menimbulkan persoalan tentang etika individu tersebut. Akan sentiasa wujud kemungkinan bahawa individu seperti ini akan bertindak untuk kepentingan diri dan tidak menghiraukan nasib berbilion dana pelabur lain.


 

parafrasa

 


Dari pandangan Islam

Walau bagaimanapun, isu etika ini sudah dihuraikan di dalam prinsip kewangan Islam. Kewangan Islam telah memberi garis panduan perdagangan halal. Di mana, semua urus niaga kewangan wajib disokong oleh aset fizikal.

 

Ia juga mengharamkan sebarang pelaburan yang melibatkan unsur riba’ (faedah), gharar (ketidakpastian), dan maysir (spekulasi).

 

Tambahan pula, Islam menggalakkan pelaburan yang menambah nilai atau memberi impak sebenar kepada orang ramai, iaitu konsep menegakkan maslahah (kepentingan awam).

 

Oleh kerana sifat kompleks dan spekulatif matawang kripto, ramai sarjana Islam mempunyai pendapat yang berbeza tentang mata wang kripto.

 

Mufti Shaykh Shawki Allam dan Shaykh Haitham al-Haddad, adalah antara ulama yang tidak menyokong pelaburan kripto.

 

Para sarjana ini juga menekankan isu ketidaktentuan nilai matawang kripto yang melampau dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.

 

Walau bagaimanapun, terdapat juga ulama yang menyokong pelaburan kripto, seperti Mufti Faraz Adam dan Mufti Muhammad Abu-Bakar.

 

Mufti Faraz Adam
                               Mufti Faraz Adam

 


Ulama ini menerima idea bahawa matawang kripto hanyalah medium transaksi sesuatu aset yang diterima ramai.

 

Perkembangan pesat pasaran kewangan hari ini telah mengaburi sempadan antara halal dan haram dalam perdagangan kewangan.

 

Oleh itu, pelabur beretika haruslah mendapatkan pengetahuan penuh dan menyaring setiap pilihan matawang kripto secara bertanggungjawab dalam membina portfolio pelaburan mereka.

 

Menjadi tanggungjawab pelabur untuk menuntut ilmu daripada pakar dan ulama bagi mengelakkan sebarang unsur ketidakpastian dan spekulasi.

 

Pelabur perlu tahu sama ada matawang kripto itu patuh Syariah, berasaskan perjudian, berasaskan faedah, dan sebagainya. Salah satu contoh usaha untuk mencipta matawang kripto patuh Syariah ialah OneGram.

 

Ia adalah matawang kripto yang disokong oleh emas fizikal. Ia menekankan kepada aktiviti perdagangan berdasarkan aset fizikal dan bukan spekulasi nilai matawang semata.

 

Lebih penting lagi, pelabur beretika harus melabur dalam aset yang memberikan nilai yang lebih kepada orang ramai dan bukan sekadar mengutip keuntungan untuk diri sendiri.


 

parafrasa

 


Pelaburan dalam dana patuh Syariah atau ESG adalah pengganti yang sesuai untuk matawang kripto. Dana patuh Syariah dan ESG adalah pelaburan jangka panjang yang lebih stabil dan telus berbanding kripto.

 

Mengarahkan pelaburan wang ke dalam dana ini secara tidak langsung menyokong usaha perniagaan halal, perlindungan alam sekitar, mengurangkan risiko sosial, dan ketelusan tadbir urus.

 

Tuntasnya, pasaran kewangan hari ini memerlukan lebih ramai pelabur yang beretika dan bertanggungjawab dalam pilihan aset pelaburan, bagi memberi faedah bersama untuk jangka masa panjang. - DagangNews.com

 

Dr. Muhammad Hafiz Ali adalah Koordinator Perbankan & Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara N.Sembilan