Megat Jalaluddin mulakan tugas sebagai Presiden dan CEO TNB | DagangNews Skip to main content

Megat Jalaluddin mulakan tugas sebagai Presiden dan CEO TNB

Megat Jalaluddin Megat Hassan (kanan) menerima surat pelantikannya daripada Pengerusi TNB, Dato’ Abdul Razak Abdul Majid di Kuala Lumpur, 1 Mac 2024. - Gambar TNB
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Mac - Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan hari ini mengambil alih tugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh dua tahun akan datang.

 

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, menggantikan Dato’ Seri Ir. Baharin Din yang menamatkan tempoh perkhidmatannya semalam, 29 Februari 2024.

 

Menurut TNB, sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri tenaga dan telah menerajui pelbagai peranan utama dalam TNB sejak tahun 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Strategik, Ketua Pegawai Retail dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga, Megat Jalaluddin dianggap sebagai pemimpin yang berkaliber untuk membawa syarikat ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan memberikan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan.

 

"Sebagai CEO TNB baharu, beliau akan meneruskan amanah mengemudi syarikat untuk menggerakkan pertumbuhan perniagaan TNB dan mengendalikan agenda peralihan tenaga TNB ke arah pelepasan sifar bersih, selaras dengan matlamat neutral karbon Malaysia menjelang 2050 – demi membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang," kata kenyataan media TNB malam ini.

 

Beliau menerima surat pelantikannya daripada Pengerusi TNB, Dato’ Abdul Razak Abdul Majid (kiri) di majlis ringkas di Ibu Pejabat TNB, Bangsar pagi tadi.

Abdul Razak dalam ucapan ringkasnya mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Megat Jalaluddin serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas pelantikan tersebut.

 

Barisan pengurusan dan seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan Megat Jalaluddin sebagai CEO TNB baharu untuk menerajui dan membawa Syarikat ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi, serta meningkatkan nilai kepada semua pemegang taruh. - DagangNews.com