KUALA LUMPUR 24 Ogos - MEASAT Global Berhad (MEASAT) bersama Parcel365 Sdn Bhd dan M2B Services Sdn Bhd bekerjasama melancarkan Program Transformasi Usahawan (PTU) di bawah inisiatif KampungDigital365.com bagi memacu aktiviti keusahawanan di luar bandar dengan kerjasama sektor korporat.
Menurut satu kenyataan media hari ini, platform PTU, yang turut disokong oleh Program Ekonomi Perkongsian MDEC, membolehkan badan korporat dan individu menyokong jualan produk tempatan, serta latihan dan peluang pekerjaan untuk penduduk kampung.
Sebagai permulaan, PTU akan menumpukan usaha memperkasakan usahawan wanita bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan masyarakat di sekeliling mereka melalui ekonomi digital, manakala fasa yang seterusnya akan disasarkan kepada golongan belia dan para petani, antara lainnya.
“Dalam usaha pemerkasaan kami, kami yakin bahawa wanita adalah demografik utama, yang mana jika kita berjaya meningkatkan taraf hidup mereka, maka kita juga berjaya memperkasakan keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Oleh itu, kami melancarkan Fasa 1 PTU dengan menumpukan kepada usahawan wanita di kawasan luar bandar,” jelas Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim pada majlis pelancaran plaform PTU itu.
Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Pusat Teleport dan Penyiaran MEASAT di Cyberjaya, dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Parcel365, Eddie Mok Yew Keong berharap bakal penaja PTU yang berpotensi akan sama-sama teruja membuat perubahan dalam kehidupan masyarakat luar bandar Malaysia.
“Kami menggalakkan semua pihak supaya mencari jalan untuk mengoptimumkan potensi sumber manusia dan bakat dalam kalangan penduduk kampung, bukan sahaja sebagai penaja tetapi sebagai pelanggan yang menawarkan peluang perniagaan mampan melalui ekonomi digital.
“Melalui penggabungan dengan rangkaian penuh perkhidmatan yang ditawarkan oleh Parcel365 dan pelbagai platform kami, penduduk kampung seterusnya akan dapat melihat perubahan positif apabila peluang perniagaan mereka berkembang,” tambahnya.
Para peserta PTU akan diberikan modal permulaan, peralatan dan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi CONNECTme NOW untuk memulakan aktiviti perniagaan mereka, selain diberikan latihan kemahiran e-Dagang dan pemasaran agar perniagaan mereka berjaya dan kekal mampan.
Fasa pertama latihan itu disasarkan kepada lima Kampung Orang Asli (KOA) di Pahang, iaitu KOA Titom, KOA SOP, KOA Simoi Lama, KOA Sekam Batu 17 dan KOA Kedut, menyasarkan untuk melatih 125 usahawan, yang kemudiannya akan menyokong 2,500 penduduk kampung, dengan unjuran pelaburan RM500,000 untuk semua perbelanjaan bagi tempoh lima bulan.
Maklumat lanjut mengenai program penajaan PTU atau bagi menyalurkan sumbangan boleh dilayari di laman web https://shopla365.com/pages/program-transformasi-usahawan-ptu. - DagangNews.com







