MDV lantik Marazizi Omar sebagai Ketua Pegawai Perniagaan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDV lantik Marazizi Omar sebagai Ketua Pegawai Perniagaan baharu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Nov - Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF (Inc) dan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), melantik Marazizi Omar sebagai Ketua Pegawai Perniagaan (CBO) baharunya berkuat kuasa 21 November 2022.

 

Marazizi membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman besar dalam perniagaan dan kewangan, setelah memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan dalam pelbagai syarikat serta berjaya mengasaskan perniagaan berasaskan teknologinya sendiri.

 

Sebelum pelantikan oleh MDV, Marazizi telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi dan kemudiannya, sebagai Ketua Pegawai Perniagaan, di Export Import Bank Malaysia (EXIM) selama 3 tahun.

 

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Leasing Corporation, anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan pernah bekerja dengan CIMB, Southern Bank dan Bank Bumiputra Malaysia Berhad dalam pelbagai kapasiti.

 

Marazizi memegang ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari University of South Australia, Australia dan ijazah sarjana muda dalam pengurusan perniagaan dari Midwestern State University, Texas. Beliau adalah ahli Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM).

 

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, Marazizi memiliki pengalaman mendalam dan pendedahan meluas dalam pelbagai sektor perniagaan, termasuk komersial, perindustrian, projek, pembangunan infrastruktur dan perdagangan antarabangsa.

 

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan MDV yakin Marazizi akan menjadi aset kepada MDV dalam usahanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan pesat dalam tempoh 3-5 tahun akan datang, menurut rancangan jangka panjang MDV, dan dalam memajukan sektor teknologi untuk manfaat negara," katanya. - DagangNews.com