KUALA LUMPUR 28 Feb - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) menjalin kerjasama dalam mempertingkatkan pembangunan penggunaan 5G dengan menggunapakai panduan dan kajian kes sebenar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu menandakan satu acara penting terutamanya ketika Malaysia sedang melancarkan teknologi 5G ke seluruh negara, yang mana dijangka akan meliputi 80% liputan menjelang hujung 2024.
Katanya, penggunaan kajian kes sebenar dalam teknologi 5G mempunyai potensi sangat besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang signifikan, meningkatkan taraf sosial dan membantu Malaysia mencapai matlamat pembangunan mampan (ESG), serta selari dengan visi Malaysia MADANI.
"Kami yakin menerusi MoU ini dengan rangkaian meluas, pengalaman dan panduan daripada GSMA, akan meningkatkan keupayaan digital, kemampuan dan nilai dalam ekonomi digital kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MoU tersebut diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz dan Ketua APAC untuk GSMA, Julian Gorman.
Antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada kajian kes penggunaan sebenar ini adalah termasuk bandar pintar, industri 4.0, pendidikan, teknologi kesihatan, pemantauan alam sekitar dan keterangkuman sosial.

GSMA juga akan menonjolkan kajian kes di Malaysia dan berkongsi mengenainya menerusi laporan-laporan saranan termasuk laporan APAC Mobile Economy dan laporan Digital Societies.
Menerusi MoU ini juga, MDEC dan GSMA akan bekerjasama dalam memacu minat terhadap pelaburan digital seperti mana yang terkandung dalam inisiatif strategik nasional terbaharu; Malaysia Digital, menerusi sektor-sektor tumpuan dan penggerak teknologi.
Selain itu, ia turut akan merancakkan pembangunan keupayaan dan kemampuan bagi teknologi 5G di Malaysia demi memacu pertumbuhan dalam pelaburan digital.

Mahadhir pula berkata, GSMA antara rakan kongsi yang penting untuk meneroka pertumbuhan ekonomi digital.
"Menerusi keupayaan dan rekod cemerlang sebagai salah satu pihak berpengaruh dalam teknologi mudah alih dan digital, dan bergabung bersama kepakaran MDEC dalam ekosistem digital di rantau ASEAN, manfaat dan peluang yang bakal dicipta menerusi MoU ini akan memberikan nilai yang sangat signifikan," katanya.
MoU tersebut juga akan meningkatkan pengayaan dan memacu program-program ESG dalam mempromosikan kepelbagaian dan kemampanan ekonomi digital di Malaysia. - DagangNews.com








