KUALA LUMPUR 16 Jan - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menawarkan pembiayaan untuk projek pembangunan bercampur Kota Semarak dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM850 juta, yang dijangka siap pada 2027.
Kota Semarak juga akan dilengkapi stesen pengecas kenderaan elektrik, sistem pengurusan sisa pepejal dan penuaian air hujan yang sejajar dengan usaha MBSB Bank dalam memperjuangkan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
Menurut Ketua Bahagian Perbankan Korporat MBSB Bank, Noor Hanim Ahmad Kushairi, sebagai sebuah institusi kewangan Islam, pihaknya memahami kepentingan melaksanakan rangka kerja mampan dalam organisasinya.
"Itulah sebabnya kami menawarkan pembiayaan hijau untuk mengurangkan kesan buruk perubahan iklim. Untuk tahun lepas sahaja, kita meluluskan lebih setengah bilion ringgit dalam pembiayaan hijau, kepada kedua-dua PKS dan pelanggan besar korporat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MBSB Bank memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan 59 Inc Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corporation Berhad semasa majlis pecah tanah di Kota Semarak Galleria di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties dan Pengarah 59 Inc, Azman Ibrahim pula berkata, pihaknya berhasrat untuk menggunakan Kota Semarak sebagai batu loncatan kepada rancangan jangka panjang untuk menyediakan kehidupan persekitaran lebih mesra alam dan mampan dalam projek tersebut.
"Kami menyedari kepentingan meminimumkan jejak ekologi kami dan menyelaraskan amalan kami dengan Matlamat Pembangunan Mampan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya selepas pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com








