KUALA LUMPUR 6 April - MBSB Bank Bhd menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh syariah, Ihsan-i kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula esok.
Kemudahan Ihsan-i yang disediakan MBSB Bank bertujuan membantu ahli KWSP berusia 40 hingga 55 tahun, yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh syariah itu dengan kadar kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun.
Beliau berkata, pemohon perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan pihak bank.
"Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan syariah dan mengguna pakai konsep Tawarruq.
Antara kelebihan Ihsan-i adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.

Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra' atas kadar keuntungan bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
MBSB Bank memaklumkan, permohonan tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web www.fsa2mbsbbank.com bermula esok.
Maklumat lanjut serta status permohonan boleh didapati di laman web yang sama.
Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada kelayakan pembiayaan dan kedudukan kredit para pemohon.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi MBSB Bank di talian 03-2083 7100 mulai 7 April 2023. - DagangNews.com








