MBSB Bank sumbang RM100,000 bantu mangsa banjir di Johor | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank sumbang RM100,000 bantu mangsa banjir di Johor

Datuk Nor Azam M Taib (tiga, kanan) menyampaikan 'mock cheque' sumbangan kepada Kamarul Zaman Saharul Anwar di Menara MBSB Bank, PJ Sentral, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Prihatin terhadap keadaan mangsa-mangsa banjir di Johor, MBSB Bank Berhad menghulurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi mengurangkan beban mereka. 

 

Sumbangan itu diserahkan kepada mangsa banjir di Johor Bahru, Batu Pahat, Segamat, Muar, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Pontian dan Kulai menerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), yang aktif menyediakan bantuan kemanusiaan di Malaysia seperti bantuan bencana banjir, penyediaan perlindungan sementara dan pembinaan semula rumah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, pihaknya memahami bahawa banjir yang melanda bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan harta benda, malah turut memberi tekanan perasaan dan trauma kepada mangsa-mangsa terlibat.

 

“Adalah harapan kami menerusi kerjasama dengan MyCARE yang mempunyai sumber untuk mengenal pasti keluarga yang terkesan, ia akan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir dalam melangsungkan kehidupan seharian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, sumbangan tersebut disampaikan oleh Nor Azam kepada Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Saharul Anwar di Menara MBSB Bank, PJ Sentral, baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, MBSB Bank juga telah menyumbang 550 paket makanan asas dan kit penjagaan diri melalui program ‘Box Of Care’ kepada mangsa banjir di Muar, Segamat dan Batu Pahat Johor melalui kerjasama bersama Food Aid Foundation, baru-baru ini.


 
Selain itu, MBSB Bank menyalurkan sumbangan makanan asas melalui program sama kepada 300 penduduk di PPR Kota Bharu pada Disember 2022. 

 

 

mbsb
Pihak MBSB Bank menyampaikan sumbangan ‘Box Of Care’ kepada mangsa banjir di Kelantan pada Disember 2022.

 

 

mbsb

 

 

Manakala pada Januari 2023, sumbangan Box of Care turut disampaikan kepada 150 mangsa banjir di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Pasir Mas di Kelantan. 

 

MBSB Bank mengambil berat terhadap pembangunan serta keperluan masyarakat setempat dan komitmen ini dizahirkan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat berlandaskan empat teras utama iaitu Komuniti, Pendidikan, Alam Sekitar dan Tempat Kerja. - DagangNews.com