KUALA LUMPUR 12 April - MBSB Bank Berhad akan menawarkan program pembiayaan perniagaan direka khas untuk kontraktor dan vendor oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
Dalam satu kenyataan hari ini, MBSB Bank berkata kontraktor dan vendor yang terlibat dalam projek semasa dan akan datang MRT Corp, termasuk Projek Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura, akan mendapat manfaat tersebut.
Program pembiayaan ini bertujuan membantu kontraktor kategori Gred G1 hingga G7 berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang terlibat dalam projek MRT untuk meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran terbuka, jelasnya.
Program pembiayaan baharu MBSB Bank adalah sebahagian daripada kerjasamanya dengan MRT Corp, yang telah dimeterai semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSB Bank dan Pemaju Projek dan Pemilik Aset MRT Lembah Klang (KVMRT) di ibu pejabatnya di PJ Sentral, Petaling Jaya, semalam.
Pembiayaan ini juga akan menyaksikan MBSB Bank menyediakan dana permulaan kepada 15 syarikat Bumiputera di bawah Program Usahawan Muda MRT (MYEP).
Program MYEP-RTS adalah inisiatif MRT Corp, CIDB, dan Pusat Pembangunan Pembinaan Johor (JCCD) untuk memupuk graduan Bumiputera baharu untuk menjadi kontraktor muda yang cekap dan berjaya dalam industri.
Program MYEP yang serupa telah dianjurkan untuk dua projek MRT pertama iaitu Projek Laluan MRT Kajang dan Putrajaya (MYEP 1 dan 2), di mana MYEP pertama menyaksikan 16 graduan membentuk 14 syarikat dalam kalangan mereka, manakala MYEP 2 menghasilkan 54 graduan yang menubuhkan 24 syarikat sesama mereka.
Graduan ini bukan sahaja melengkapkan subkontrak MRT yang dianugerahkan berikutan penyiapan Program MYEP, tetapi mereka juga membida secara bebas untuk projek daripada Kontraktor Pakej Kerja dan berjaya dalam pelaksanaan.
Mengulas mengenai perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, “Program pembiayaan patuh syariah yang direka khas ini akan menangani situasi kewangan dan agar mereka dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan kerja tepat pada masanya dan cekap.
Kami berharap kontraktor dan vendor MRT Corp akan mendapati tawaran baharu ini menarik dan bermanfaat kepada perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif berkata perkongsian tersebut akan menyaksikan peningkatan usahawan Bumiputera berkelayakan dalam industri pembinaan, sementara syarikat itu berusaha mengembangkan lagi kecekapan peserta untuk melahirkan pemain yang kuat, komited dan hebat, selaras dengan keperluan industri.
"Komitmen MBSB Bank untuk menyediakan pembiayaan kepada kontraktor terlibat dalam projek MRT akan membantu memulakan aktiviti yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi, mewujudkan impak pengganda berkekalan kepada ekonomi,” tambahnya. -DagangNews.com








