MBSB Bank labur lebih RM800,000 untuk program keusahawanan GRAP 2.0 selama setahun | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank labur lebih RM800,000 untuk program keusahawanan GRAP 2.0 selama setahun

MBSB Bank melancarkan program GRAP 2.0 yang dilanjutkan selama setahun bermula Jun 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - MBSB Bank Bhd melabur sebanyak RM818,300 untuk pelaksanaan Growth Entrepreneurship Assistance Programme (GRAP 2.0) yang dilanjutkan selama setahun bermula Jun 2023.

 

Susulan kejayaan GRAP 1.0 yang diperkenalkan pada Februari hingga September 2022, MBSB Bank baru-baru ini melanjutkan program GRAP 2.0 menerusi kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia).

 

Lanjutan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berfungsi untuk menyediakan kursus perniagaan untuk menjana pendapatan mampan kepada mereka yang terjejas dengan landskap ekonomi mencabar.

 

GRAP 2.0 akan menyediakan modal perniagaan, peralatan, latihan pengurusan perniagaan termasuk cara membangunkan model perniagaan merangkumi strategi pemasaran dalam talian, kewangan pengurusan dan pengurusan operasi dengan menyasarkan peserta dari Bangi, Kajang dan Semenyih di Selangor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, program ini direka untuk memperkasakan usahawan mikro dengan meningkatkan pengetahuan perniagaan mereka. 

 

Katanya, keupayaan peserta kali ini akan ditambah baik menerusi penghasilan rancangan perniagaan yang kukuh, pengurusan kewangan serta pemasaran dan pengiklanan. 

 

"GRAP 2.0 akan menyediakan peserta untuk berdaya tahan dalam membina perniagaan mereka dalam memastikan pendapatan yang mampan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Nor Azam, seramai 23 peserta berjaya menerima pensijilan dengan mencapai peningkatan jualan yang baik pada tahun lepas.

 

"Mereka mencatatkan pertumbuhan pendapatan bulanan lebih 95% dalam tempoh tujuh bulan program.

 

"Salah satu sebab paling penting untuk mendapatkan pensijilan adalah untuk memberi mereka pengiktirafan dan penghargaan atas kerja keras dan dedikasi mereka serta bukti menghadiri sebuah program keusahawanan. Kali ini, kami menyasarkan untuk membantu 50 peserta," katanya.

 

MBSB Bank percaya dalam mewujudkan masa depan yang inklusif dan mampan untuk semua pihak, sokongan berterusan yang dihulurkan melalui pelbagai program kepada mereka amat diperlukan. 

 

Berdedikasi dalam meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat, MBSB Bank baru-baru ini menyumbang RM150,000 kepada My H.A.U.S Project iaitu pembaikan rumah program di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). - DagangNews.com